Kemenangan BN Di Parlimen Machang Kekal Selepas Petisyen PKR Ditolak

Diterbitkan: Selasa, 16 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Mahkamah Pilihan Raya di sini pada Selasa menolak petisyen yang difailkan PKR bagi membatalkan keputusan pilihan raya Parlimen Machang yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 pada Mei lepas.

Hakim Pilihan Raya Datuk Zamani Abdul Rahim yang menolak petisyen itu dengan kos, berkata pihak pempetisyen telah gagal mematuhi beberapa peraturan mengikut Kaedah 9 Kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

Beliau mengarahkan pihak pempetisyen membayar kos RM30,000 kepada responden pertama iaitu Anggota Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan masing-masing RM15,000 kepada responden kedua dan ketiga itu Pegawai Pengurus Pilihan Raya serta Suruhanjaya Pilihan Raya.

Pada PRU13 lalu, Ahmad Jazlan yang juga Ketua Umno Bahagian Machang mengalahkan calon PKR, Wan Zawawi Wan Ismail dengan majoriti 805 undi.

Petisyen itu telah difailkan Wan Zawawi.

Zamani menjelaskan kegagalan utama pihak pempetisyen dalam kaedah itu ialah notis kelayakan peguam yang hanya membenarkan peguam Hisham Fauzi mewakili pempetisyen dan bukannya penama lain dan satu lagi alasan adalah hujahan yang tidak menepati kaedah yang sama.

Pada Rabu lepas, peguam mewakili BN Datuk Mohd Hafarizam Harun membantah kehadiran tiga peguam untuk mewakili pempetisyen bagi Parlimen Machang iaitu R. Sivarasa, Latheefa Koya dan Muhammad Afiq Muhammad Noor.

Menurut Mohd Hafarizam ketiga-tiga peguam itu tidak boleh mewakili pempetisyen itu kerana mereka bukan peguambela yang dilantik oleh pempetisyen mengikut Kaedah 9 Kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954. Zamani kemudian membenarkan bantahan Mohd Hafarizam itu.

Pada prosiding Selasa, Mohd Hafarizam turut membawa perhatian Zamani mengenai tindakan Latheefa Koya yang mempertikaikan keputusan hakim pada prosiding lepas melalui Twitter yang disifatkan sebagai menghina mahkamah.

Namun, Zamani berkata beliau tidak mahu melibatkan dirinya dalam perkara berkenaan dan perkara itu sepatutnya dibawa kepada Majlis Peguam.

"Bagi saya Majlis Peguam yang perlu menasihatkan para peguam dan saya tidak mahu terlibat dalam tindakan berbentuk politik dan segala keputusan saya adalah telus," katanya.

Pada Rabu lepas, Zamani menolak petisyen PAS bagi Dewan Undangan Negeri Selising yang dimenangi BN.

DUN Selising itu dimenangi calon BN Zulkifle Ali yang menewaskan calon PAS, Saipul Bahrim Mohamad dan calon Bebas Ibrahim Ismail dengan majoriti 107 undi.

Bagaimanapun pada prosiding itu, Zamani menolak bantahan awal yang difailkan oleh defendan-defendan iaitu daripada PAS bagi membatalkan petisyen Parlimen Bachok, DUN Jelawat dan DUN Gaal yang dibuat oleh BN dan telahpun menetapkan tarikh untuk perbicaraan bagi kesemua petisyen berkenaan.

Selain Mohd Hafarizam, peguam lain yang mewakili BN pada petisyen itu ialah Abu Bakar As-Siddiq, Nor Azli Ahamed, Mohd Ilias Mohd Noor dan Raihanah Ashriqin Ariffin.

PKR pula diwakili Hisham Fauzi manakala Azizan Md Arshad mewakili responden kedua dan ketiga. - ERNAMA

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan