Pemuda Dipenjara 18 Tahun Sebabkan Kematian Teman Wanita

Diterbitkan: Jumaat, 5 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang bekas penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan menyebabkan kematian bekas teman wanitanya dengan cara menekup muka mangsa menggunakan bantal sebelum membakar mayat wanita itu dalam semak dua tahun lepas.

Hakim, Datuk Ahmadi Asnawi memerintahkan Muhammad Khairi Nor Aziz, 21, menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 12 September 2011.

Ahmadi berkata, dalam mempertimbang hukuman yang perlu dijatuhi, mahkamah mengambil kira umur tertuduh yang masih muda semasa kejadian, tiada rekod kesalahan lampau dan laporan Penjara Kajang yang menunjukkan dia mempunyai tingkah laku baik sepanjang dalam tahanan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kesalahan Muhammad Khairi adalah serius dan tiada kewajaran bagi tertuduh untuk menyebabkan kematian mangsa.

"Awak ada kemahuan dan kehendak serta rasa diri amat tinggi untuk bersama dengan mangsa. Awak paksa diri awak ke atas mangsa dan mangsa menolak kemahuan awak. Perkara ini tidak beri kewajaran kepada awak untuk menyebabkan kematian ke atas mangsa dengan menekupnya sehingga mangsa tidak bernafas.

"Tindakan awak untuk membakar mangsa hanya bermaksud untuk menyembunyikan perbuatan awak yang menyebabkan kematian mangsa, dan ini tidak wajar sama sekali. Dalam kes ini, saya dapati kepentingan awam mengatasi kepentingan awak dan justeru, awak diperintah menjalani hukuman penjara 18 tahun bermula dari tarikh awak ditangkap," katanya.

Muhammad Khairi didakwa menyebabkan kematian Nurul Awatif Mohd Syakir, 19, di Apartment Sri Wira, Jalan Ukay Perdana 2, Taman Ukay Perdana, Ampang Jaya antara 9 malam, 4 Sept 2011 hingga 2.15 pagi pada 5 Sept 2011 mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun.

Sebelum ini, Muhammad Khairi berdepan pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Muhammad Khairi membawa Nurul Awatif ke kediaman milik keluarganya yang ketika itu beraya di kampung dan bertindak memasukkan Panadol ke dalam minuman gadis itu untuk mengkhayalkan beliau bagi memudahkan tertuduh mengadakan hubungan seks dengan mangsa.

Apabila tertuduh cuba memujuk mangsa mengadakan hubungan seks, Nurul Awatif cuba melawan serta menjerit, dan untuk mengelakkannya daripada terus menjerit, Muhammad Khairi menekup muka gadis itu dengan bantal sehingga mangsa tidak sedarkan diri.

Muhammad Khairi, yang panik dengan keadaan itu, kemudian berehat sebentar di ruang tamu sebelum memeriksa nafas Nurul Awatif dengan meletakkan tangan di bawah hidung gadis itu dan mendapati mangsa telah meninggal dunia.

Tertuduh kemudian membawa mangsa turun dan meletakkannya di dalam but kereta Kancil, memandu ke Jalan Lembah Jaya Utara menghala ke Bukit Belacan dan mencampakkan mayat gadis itu ke dalam semak di tepi jalan sebelum bertindak membakarnya menggunakan surat khabar yang dibasahi minyak petrol.

Muhammad Khairi ditangkap pada 12 September 2010 di Universiti Teknologi Mara Seri Iskandar, Perak.

Hasil bedah siasat ke atas mayat Nurul Awatif, pelajar Maahad Tahfiz Al-Tijarah di Selayang, mendapati punca kematiannya tidak dapat dipastikan akibat mayatnya mengalami kebakaran teruk iaitu sebanyak 72 peratus.

Mangsa didapati mengalami kecederaan seperti luka lebam pada bahagian kanan dan depan kepala, luka bakar pada muka dan leher, luka bakar pada kedua-dua tangan, patah tulang lengan bawah sebelah kanan, luka bakar pada dada dan perut, luka bakar pada kedua-dua peha sebelah dalam serta luka bakar di kemaluan.

Terdahulu, peguam Aminuddin Mohd Ramli memaklumkan mahkamah tertuduh mengakui kesilapan serta insaf dengan perbuatannya, dan ketika dalam tahanan, dia menunjukkan minat untuk terus belajar dengan mengambil kursus Diploma Pengurusan melalui program kerjasama antara Penjara Kajang dan sebuah institusi pengajian tinggi swasta.

"Pihak Penjara Kajang turut memberi laporan bahawa tertuduh tidak melakukan sebarang kesalahan yang menyalahi undang-undang sepanjang dalam tahanan, rajin dan baik terhadap rakan serta pegawai penjara," katanya.

Ketua Unit Pendakwaan Selangor Mohd Azari Harun yang mengendalikan pendakwaan, bagaimanapun berkata kepentingan awam perlu diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.

Beliau berkata, walaupun Muhammad Khairi telah insaf, mahkamah perlu mengambil kira perbuatannya membakar mayat Nurul Awatif kerana kekejaman tertuduh memberi kesan trauma kepada keluarga gadis itu, justeru, hukuman setimpal perlu dijatuhkan.

Sementara itu, bapa Nurul Awatif, Mohd Shakir Arshad, 50, dan ibunya, Azizah Abd Rahman, 48, ketika membacakan kenyataan impak mangsa berkata arwah merupakan satu-satunya anak perempuan daripada lima beradik serta seorang yang peramah dan rapat dengan keluarga.

Pasangan itu berkata, mereka trauma selama setahun selepas kematian Nurul Awatif selain tidak dapat menerima kejadian yang menimpa mangsa sehingga kini, dan kematiannya merupakan satu kehilangan besar kepada keluarga. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan