Keputusan Wanita Hamil Tidak Patut Didiskriminasi Daripada Mencari Kerja Kekal

Diterbitkan: Khamis, 27 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Keputusan penting oleh Mahkamah Tinggi bahawa wanita hamil tidak patut didiskriminasi daripada mencari kerja, kekal berikutan keputusan kerajaan menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan di sini Khamis.

Panel tiga hakim, dipengerusikan Datuk Clement Allan Skinner, dengan itu membatalkan rayuan itu dan memberikan RM5,000 sebagai kos perundangan kepada Noorfadilla Ahmad Saikin.

Dua lagi hakim yang bersidang dalam panel itu ialah Datuk Rohana Yusuf dan Datuk David Wong Dak Wah.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan memaklumkan mahkamah, kerajaan menarik balik rayuannya tetapi tidak menyatakan alasannya.

Peguam Edmund Bon yang mewakili Noorfadilla, memuji kerajaan dan Peguam Negara kerana membuat keputusan menarik balik rayuan itu yang merupakan perkara amat penting kepada awam.

Pada 12 Julai, 2011, Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat keputusan yang memihak kepada Noorfadilla yang menyaman kerajaan bagi memohon perisytiharan bahawa kehamilan bukan satu alasan untuk dirinya dinafikan peluang kerja sebagai guru sandaran tidak terlatih.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaleha Yusof memutuskan pemecatannya daripada pekerjaan itu adalah batal dan tidak sah dan salah di sisi perlembagaan dan memberikannya ganti rugi yang akan dinilai kemudian.

Dalam membuat keputusan penting itu, Zaleha mengguna pakai Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan mendapati Noorfadilla berhak dilantik sebagai guru sandaran dan pembatalan penempatannya adalah salah di sisi perlembagaan.

Hakim juga mengguna pakai Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan sepatutnya tidak ada sebarang diskriminasi terhadap mana-mana orang berdasarkan gender.

Noorfadilla, 31, dari Kajang, memfailkan saman itu pada Mei 2010 dan menamakan Pegawai Khas Kumpulan Guru Sandaran Kerajaan Chayed Basirun, Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Langat Ismail Musa, bekas Pengarah Pendidikan Selangor Dr Zahri Aziz, kerajaan Malaysia, Menteri Pendidikan dan Ketua Pengarah Pendidikan sebagai defendan.

Beliau memohon diisytiharkan bahawa pemecatan daripada kontraknya, kerana dirinya hamil tiga bulan, sebagai tidak sah.

Dalam afidavit sokongannya, Noorfadilla berkata antara Februari dan Mac 2008, beliau memohon kepada Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat bagi jawatan guru sandaran tidak terlatih.

Beliau ditawarkan jawatan itu berasaskan bulan ke bulan bermula pertengahan Januari 2009.

Beliau kemudian diminta melapor diri untuk bertugas, tetapi tawaran itu ditarik balik apabila beliau memaklumkan Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat yang dirinya hamil.

Kemudiannya, Edmund memberitahu pemberita yang beliau akan merujuk ke Mahkamah Tinggi untuk pelaksanaan perintah mahkamah bagi ganti rugi.

Noorfadilla, yang sedang hamil anak keempat hadir di mahkamah, Khamis.

Beliau yang ditemani suaminya Mohd Izwuan Zakaria dan tiga anak mereka berusia dua hingga enam tahun berkata beliau lega dengan keputusan kerajaan itu. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan