Tiada Bukti Untuk Kaitkan Najib Dengan Kematian Altantuya - Mahkamah Rayuan

Diterbitkan: Rabu, 26 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Tiada sebarang bukti untuk kaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kematian wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, Mahkamah Rayuan di sini diberitahu pada Selasa.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah berkata seseorang tidak boleh sewenangnya menuduh atau mengaitkan apa-apa dengan Najib yang ketika itu timbalan perdana menteri, hanya kerana Abdul Razak Baginda secara kebetulan kenal Najib dan DSP Musa Safri pula ialah pengawal peribadi timbalan perdana menteri (TPM) pada masa itu.

"Seseorang dituduh di mahkamah berdasarkan bukti sebenar dan bukan berdasarkan bukti rekaan," katanya dan menurutnya daripada keterangan diberikan di Mahkamah Tinggi, tidak ada apa-apa bukti untuk menunjukkan penglibatan orang lain.

Abdul Razak, 50, penganalisis politik, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan bersubahat dengan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, membunuh wanita itu (Altantuya) yang ketika kejadian berumur 28 tahun.

Keterangan menunjukkan Abdul Razak dan DSP Musa adalah berbalas teks mesej membabitkan Abdul Razak meminta bantuan untuk menghalang si mati (Altantuya) daripada menganggu diri dan keluarganya.

DSP Musa kemudiannya telah memperkenalkan Azilah kepada Abdul Razak.

Tun Abdul Majid berkata kenyataan bersumpah Azilah secara jelas menunjukkan apa juga tindakan yang dilakukannya adalah keputusannya sendiri dan dia tidak menerima arahan spesifik mengenai bagaimana untuk menolong Abdul Razak.

"Tidak ada apa-apa untuk mengaitkan TPM ketika itu dengan apa yang dilakukan oleh para perayu (Azilah dan Sirul Azhar) atau Abdul Razak," hujah beliau dalam rayuan dikemukakan dua anggota polis itu terhadap sabitan dan hukuman mati diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April, 2009.

Azilah dan Sirul Azhar didapati bersalah melakukan pembunuhan itu di Mukim Bukit Raja di Klang, dekat sini, antara 10 malam, 19 Oktober 2006 dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.

Tun Abdul Majid berhujah adalah tidak relevan untuk memanggil DSP Musa memberikan keterangan kerana beliau (Musa) tidak hadir pada pertemuan antara Azilah dan Abdul Razak dan beliau sudah pasti tidak tahu apa yang berlaku.

Pihak pembelaan berhujah kegagalan pihak pendakwaan memanggil DSP boleh membawa kepada perbicaraan salah kerana beliau satu-satunya yang dapat menjelaskan mengenai lebih 30 transaksi dihantar dari telefon bimbit Abdul Razak.

Beliau juga berkata pembelaan alibi oleh Azilah juga telah dipatahkan.

Rayuan didengar panel tiga hakim terdiri Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.

Pada akhir penghujahan itu, Hakim Linton bertanya sama ada sabitan Azilah dan Sirul Azhar benar-benar kukuh daripada aspek tertentu dalam penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Md Yassin.

Satu daripada isu itu ialah niat bersama dua anggota polis itu untuk membunuh Altantuya.

Hakim Linton mendapati hakim Mahkamah Tinggi tidak memberi perhatian terhadap isu itu.

"Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Tiada sebarang rujukan sama ada aspek ini telah dibuktikan dalam pertuduhan," katanya.

Tun Abdul Majid mengakui hakim tidak menyentuh mengenai niat bersama tetapi menurutnya beliau telah merujuk kedua-dua tertuduh sebagai tertuduh petama dan kedua.

Hakim Apandi kemudian berkata: "Beliau (hakim perbicaraan) tidak menyebutnya langsung; tidak ada langsung dalam alasan penghakiman. Kelakar bukan?"

Kenyataan itu disambut ketawa kecil oleh orang awam dalam mahkamah tetapi Hakim Linton yang jelas kecewa berkata: "Bagi diri dua tertuduh yang akan ke tali gantung, ia bukan sesuatu yang kelakar."

Tun Abdul Majid kemudian berkata pihak pendakwaan mempunyai cukup keterangan untuk membuktikan kes mereka disebalik tiada rujukan daripada hakim perbicaraan mengenai isu itu.

Hakim Apandi berkata, "Ada pepatah mengatakan 'manusia boleh merancang, Tuhan yang akan menentukannya". Mungkin tiada rujukan itu 'petunjuk tuhan'. Anda mempunyai kes yang kukuh, tetapi kenapa hakim tidak membuat rujukan?"

Terdahulu, Tun Abdul Majid juga berhujah pihak pendakwaan tidak pernah menyatakan bahawa bahan letupan yang digunakan dalam pembunuhan Altantuya ialah bahan letupan C4.

Katanya nama bahan letupan C4 secara spesifik tidak pernah disebut dalam keterangan, dan menurutnya saksi-saksi dalam perbicaraan memberikan keterangan bahawa pegawai Unit Tindakan Khas dilatih dalam penggunaan bahan letupan dan mempunyai akses kepada bahan berkenaan.

Selepas selesai penghujahan, Hakim Apandi berkata mahkamah menangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan untuk keputusan rayuan itu.

"Oleh kerana terdapat banyak keterangan serta hujahan panjang lebar dan autoriti mahkamah, untuk berlaku adil kepada semua orang, kami tidak akan membuat keputusan secara tergesa-gesa," kata Hakim Apandi dan menurutnya mahkamah akan memberikan alasan bertulis.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan