Suara Anggota Polis Dikenal Pasti Dalam Pintasan Perbualan Telefon

Diterbitkan: Rabu, 26 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa diberitahu suara dalam dua perbualan telefon yang dipintas dikenal pasti sebagai suara anggota polis yang sedang dibicarakan bagi kesalahan berkaitan pencerobohan pengganas Sulu di pantai timur Sabah.

Saksi kedua yang dilindungi itu berkata beliau mengecam suara Detektif Korporal Hassan Ali Basari dalam komunikasi yang dipintas sebelum ini di mana tertuduh memperkenalkan identiti dirinya.

Hassan dari Semporna dituduh dengan sengaja menyembunyikan maklumat mengenai kegiatan keganasan di pejabat Ketua Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, antara Januari dan 3 Mac tahun ini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Saksi berkenaan berkata pada 2 Mac tahun ini, Hassan dihubungi seorang lelaki Sabah pukul 7.37 malam untuk bertanyakan jika satu peperangan sudah berlaku dan Hassan mengiyakannya.

Saksi berkata menurut perbualan telefon yang diterjemahkannya itu, lelaki Sabah tersebut memaklumkan dia ada menghubungi Filipina dan mengatakan lebih 400 orang akan memasuki Sabah dari Bongao, Filipina.

Dalam perbualan telefon yang dipintas pada 3 Mac tahun ini, Hassan sekali lagi dihubungi lelaki Sabah terbabit pada pukul 9.28 pagi untuk memberitahu maklumat yang diperolehnya melalui internet mengatakan jumlah penceroboh mencecah angka ribu dan memerlukan sokongan kewangan yang banyak.

Menurut saksi itu, Hassan memaklumkan lelaki Sabah berkenaan, Amerika Syarikat menyokong pencerobohan itu, termasuk bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari.

Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis Sabah Zulkifli Abd Aziz memberitahu mahkamah maklumat dalam pintasan komunikasi antara tertuduh dengan lelaki Sabah tersebut penting untuk keselamatan negara.

Ketika Zulkifli memegang jawatan Timbalan Ketua Cawangan Khas 1 di Sabah, beliau berkata Hassan turut terlibat dalam risikan ancaman pengganas Sulu di Lahad Datu.

Katanya, tertuduh dipilih dalam tugas risikan ancaman pengganas Sulu kerana kebolehannya berbahasa Bajau dan Suluk dan mempunyai ramai kenalan dari kalangan suku kaum tersebut di Lahad Datu.

Beliau juga menafikan pernah menerima maklumat mengenai ancaman pengganas Sulu atau kegiatan keganasan di Kampung Tanduo, Lahad Datu oleh tertuduh.

Menurutnya, maklumat mengenai sebarang ancaman terhadap keselamatan negara yang diperoleh anggota polis Cawangan Khas di peringkat daerah perlu segera dilaporkan kepada ketua Cawangan Khas daerah.

Tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohamad Chinki dan Ram Singh, manakala Datuk Nordin Hassan mengetuai pihak pendakwaan.

Turut hadir isteri dan dua anak tertuduh. Perbicaraan di hadapan Hakim P. Ravinthran bersambung pada Rabu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan