Broker Kereta Dihukum Penjara Lima Tahun, Dua Sebatan Kerana Merompak - Berita Mahkamah | mStar

Broker Kereta Dihukum Penjara Lima Tahun, Dua Sebatan Kerana Merompak

Diterbitkan: Jumaat, 21 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang broker kereta pada Jumaat dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana melakukan rompakan berkumpulan bersenjata terhadap dua tukang urut warga Thailand di sebuah pusat urut, Isnin lepas.

Hakim Dazuki Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Azizi Zainal Abidin, 40, selepas dia mengaku bersalah dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula tarikh dia ditangkap pada 17 Jun lepas.

Azizi bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompakan itu terhadap dua wanita berkenaan, Somkhit, 37, dan Sai, 58, serta melarikan wang tunai RM1,000 kepunyaan syarikat Bagus Thai Massage di No 8-1, Jalan 14/149L, Bandar Baru Seri Petaling, Brickfields pada 8.20 malam, 17 Jun lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Azizi, yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia perlu menanggung keluarga iaitu isteri, tidak bekerja dan dua anak yang masih bersekolah serta ibunya yang uzur.

Dalam kejadian rompakan itu, Somkhit cedera di bahagian belakang badan akibat dilibas dengan parang manakala rakan sekerjanya, Sai disembur dengan pemedih mata. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan