Suami Isteri Dipenjara 15 Tahun Kerana Dera Pembantu Rumah

Diterbitkan: Rabu, 19 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri pada Rabu didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan menyebabkan kecederaan dan memperdagangkan pembantu rumah warga Indonesia mereka, tahun lepas.

Mohd Shukur Suradi, 29, seorang ahli perniagaan, dikenakan hukuman penjara 15 tahun dan sebatan 10 kali manakala isterinya, Daeng Norulasyikin Bachok, 28, seorang guru, turut dikenakan penjara 15 tahun kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap Marsini, 22.

Mereka turut dipenjara masing-masing 10 tahun atas pertuduhan kedua iaitu memperdagangkan mangsa.

Hakim Nu'aman Mahmud Zuhudi memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata perbuatan kedua-dua tertuduh adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan serta tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang manusia kepada manusia yang lain.

Bagaimanapun, hakim membenarkan permohonan kedua-dua tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan kes di Mahkamah Tinggi.

Atas pertuduhan pertama, mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Marsini dengan menggunakan pisau, kayu golf, tali pinggang, minyak panas, penyangkut baju, senduk dan sudu panas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di rumah mereka di nombor 7, Jalan Utama 5, Taman D Utama Perling, di sini, antara Julai dan 23 September tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pasangan itu didakwa memperdagangkan Marsini bagi maksud eksploitasi dengan cara bekerja sebagai pembantu rumah di alamat yang sama kira-kira pukul 12 tengah hari, 23 September lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Jasmee Hameeza Jaafar manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohamad Isa Mohamad Basir. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan