Mahkamah Tolak Kes Saman Fitnah Syarikat Sani United Terhadap Utusan

Diterbitkan: Selasa, 18 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menolak saman fitnah yang difail syarikat bas ekspres Sani United Sdn Bhd terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dan editor akhbar Kosmo.

Hakim Lee Heng Cheong menolak permohonan itu dengan kos sebanyak RM25,000.

Syarikat itu memfailkan saman itu pada 21 Mei tahun lepas mendakwa Kosmo menerbitkan artikel palsu berhubung pembatalan permit sebuah bas ekspres milik Sani United.

Penyataan tuntutannya mendakwa artikel bertarikh 6 Januari 2010 itu diterbitkan susulan keputusan mesyuarat Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang membatalkan permit bas itu selepas berlaku kemalangan pada 26 Disember 2009.

Syarikat itu mendakwa bahasa dan kandungan artikel bertajuk 'Hukuman untuk ajar syarikat bas ekspres' adalah tidak tepat dan tidak benar, seolah-olah pembekuan permit melibatkan kesemua permit bas ekspres, sedangkan hanya satu permit bas Sani Express dibatalkan.

Sementara itu, bagi bas lain, urusan perlesenan seperti permohonan baharu, memperbaharui dan ubah syarat hanya dibekukan bagi tempoh setahun.

Penyataan pembelaan kedua-dua defendan pula mendakwa artikel itu adalah benar serta diterbitkan demi kepentingan awam, dan bukan bertujuan memalukan atau menjatuhkan reputasi syarikat itu selain disiar selepas pengumuman oleh LPKP.

Sepanjang perbicaraan kes itu, empat saksi termasuk Pengarah Urusan Sani United iaitu Datuk Wan Mohammad Sani Salleh, memberi keterangan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan