Lynas Cadang Tarik Balik Saman Fitnah Terhadap SMSL

Diterbitkan: Selasa, 18 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Syarikat pengeluar nadir bumi Australia Lynas Corp bercadang menarik balik saman fitnahnya terhadap kumpuan 'Save Malaysia, Stop Lynas' (SMSL).

Lynas memulakan prosiding undang-undang terhadap SMSL pada April tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Eric Noyrez berkata keputusan itu dibuat setelah melihat tiada nilai untuk meneruskan pertikaian dengan masyarakat tempatan.

"Ia bukan lagi kes untuk menjadi yang betul, atau membuktikan bahawa loji itu selamat.

"Dalam membuat keputusan secara sedar dan sukarela untuk menggugurkan saman fitnah ini, kami berpendapat kini adalah masa untuk terus bergerak. Kami mahu terus melibatkan masyarakat dan menunjukkan bahawa Lynas baik untuk Malaysia," katanya.

Noyrez berkata sejak permulaan operasi di Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Kuantan pada November tahun lepas, kadar pelepasan yang diukur di lokasi, secara konsisten telah jauh lebih rendah daripada had yang dinyatakan dalam Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Kesan Radiologi (RIA).

"Keputusan pemantauan pelepasan sebenar dipaparkan di laman web kami, dan juga boleh didapati di laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

"Ini untuk membuktikan produk dan proses kami adalah selamat untuk orang ramai dan alam sekitar," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan