Dua Peguam Tarik Balik Saman Terhadap PM, TPM Berhubung Bantuan Untuk Sekolah Tamil

Diterbitkan: Isnin, 17 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua peguam menarik balik saman mereka terhadap Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan kerajan yang memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa kesemua 523 sekolah rendah Tamil di negara ini perlu diberi bantuan penuh.

Peguam Ahmad Zyed Ahmad Zuber yang mewakili kedua-dua plaintif iaitu bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah M.Manoharan dan P. Uthayakumar memaklumkan Hakim Datuk VT Singham bahawa mereka memutuskan untuk tidak meneruskan tindakan itu.

Singham merekod permohonan itu selepas Peguam Kanan Persekutuan Effandi Nazila Abdullah yang mewakili defendan tidak membantah.

Manoharan ketika dihubungi selepas itu enggan mengulas apa yang menyebabkan beliau dan Uthayakumar menarik balik saman berkenaan.

Pada 14 Januari lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Manoharan dan Uthayakumar untuk menghidupkan semula saman mereka selepas memutuskan mereka mempunyai locus standi dan memerintahkan Mahkamah Tinggi mendengar kes itu berkaitan merit.

Pada 20 Jun tahun lepas, Singham membatalkan saman itu selepas memutuskan kedua-dua peguam gagal menunjukkan bahawa mereka mempunyai locus standi untuk memfailkan tindakan berkenaan.

Singham membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman berkenaan.

Saman yang difail pada 9 Februari tahun lepas itu, antara lain, memohon satu perintah agar setiap sekolah Tamil dibina di tanah seluas 4.05 hektar dan diberi peruntukan kewangan yang sama.

Manoharan, 51, dan Uthayakumar, 51, turut memohon satu perintah bahawa sekurang-kurangnya sebuah sekolah berasrama penuh Tamil dibina di setiap daerah, khususnya untuk pelajar miskin, dan sekurang-kurangnya sebuah sekolah menengah Tamil dibina di setiap negeri kecuali Kelantan, Terengganu dan Perlis.

Mereka juga memohon satu perintah bahawa Sekolah Tamil Bukit Fraser diberi peruntukan sebanyak RM200 juta dan dinaik taraf kepada Maktab Rendah Sains Mara untuk mendaftar 1,191 pelajar dari sekolah Tamil yang memperoleh 7A dalam peperiksaan mereka.

Sementara itu, kerajaan memohon untuk membatalkan saman berkenaan atas alasan ia adalah remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan