Lelaki Nigeria Ke Tali Gantung Kerana Edar Dadah Di KLIA

Diterbitkan: Jumaat, 14 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Nigeria dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini Jumaat selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 1.12kg di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dua tahun lepas.

Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pembelaan tertuduh, Anoliefo Peter Ndubuisi, 36, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Noor Azian berkata, mahkamah mendapati pembelaan tertuduh mengenai dadah itu, yang disorokkan dalam 13 botol krim rambut, adalah tidak logik dan tidak munasabah.

"Cerita tertuduh bahawa dia tidak mengetahui mengenai dadah yang dibawa selepas diminta seorang rakannya yang baru dikenali dua hari adalah tidak logik. Justeru mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan tertuduh dijatuhi hukuman gantung sampai mati," katanya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kawasan laluan keluar kaunter pemeriksaan Kastam, Aras 3, Bangunan MTB, KLIA, kira-kira 4 petang, 30 Julai, 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39 B (2) Akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Sepanjang perbicaraan, seramai 16 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sementara pembelaan mengemukakan seorang saksi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aida Mastura Mohamed Aman sementara tertuduh diwakili peguam James George. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan