Pengawal Keselamatan Warga Pakistan Didakwa Bunuh Paderi Amerika

Diterbitkan: Khamis, 13 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan warga Pakistan didakwa di Mahkamah Majistret Ampang di sini atas pertuduhan membunuh seorang paderi warga Amerika bulan lepas.

Shahbaz, 25, bersama empat lagi yang masih bebas, didakwa membunuh David James Ginter, 62, di No 2, Lorong 2A, Taman Sri Ukay, Hulu Kelang, Ampang Jaya, di sini antara 5.30 petang 3 Mei dan 10.45 pagi hari berikutnya.

Tiada pengakuan dicatatkan daripada tertuduh yang berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menetapkan 18 Julai untuk sebutan sementara menunggu laporan bedah-siasat.

Shahbaz turut dijatuhi hukuman penjara tiga bulan selepas dia mengaku bersalah tinggal melebihi tempoh di negara ini, iaitu lebih 49 hari.

Ayuni memerintahkan Shahbaz menjalani hukuman bermula Khamis.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Menara IMC, Jalan Sultan Ismail, Dang Wangi, di sini pada 5.08 pagi, 29 Mei mengikut Seksyen 15 (4) Akta Imigresen 1959/63 iaitu pelanggaran seksyen 15 (1)(c) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya S.Purnima mewakili pendakwaan manakala Shahbaz tidak diwakili peguam. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan