Koperal Polis Dijatuhi Hukuman Penjara Dua Tahun, Denda RM10,000 Kerana Rasuah

Diterbitkan: Jumaat, 7 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Seorang Koperal polis dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini Jumaat selepas didapati bersalah memberi rasuah tahun lepas.

Hakim, Mohd Nasir Nordin yang menjatuhi hukuman itu ke atas Rostam Omar, 45, membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman oleh peguam tertuduh Hanif Hassan sehingga selesai proses rayuan di Mahkamah Tinggi.

Beliau mengarahkan agar tertuduh membayar denda sebelum 11 Jun dan memfailkan rayuan dalam tempoh tujuh hari dari sekarang.

Rostam, dari Balai Polis Seri Alam, didapati bersalah memperoleh secara rasuah bagi dirinya suapan sebanyak RM600 daripada seorang peniaga, Yeow Boon Kee berhampiran Pasar Mini Lima Lima Lima di jalan Jelatang, Taman Cahaya Kota Puteri, Masai di sini kira-kira 10 malam, 12 Mei tahun lepas.

Suapan itu sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadap pasar mini itu kerana menjual rokok tanpa cukai.

Rostam didapati bersalah mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Sebelum itu, Hanif memohon mahkamah agar menjatuhi hukuman ringan kerana tertuduh telahpun menerima hukuman berat dengan kehilangan kerja selepas disabit dengan kesalahan itu.

Katanya, Rostam yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan terpaksa menanggung seorang isteri dan dua anak berusia 16 dan 17 tahun.

Pegawai Pendakwa daripada SPRM Mohd Sajori Martubi yang mewakili pegawai pendakwa asal kes Ridzuan Abd Malik memohon kepada mahkamah supaya menjatuhi hukuman setimpal kerana tertuduh telah mencemarkan imej penjawat awam dan Polis Diraja Malaysia. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan