Gelandangan Terlepas Tali Gantung, Bukti Rakaman CCTV Saja Tidak Cukup

Diterbitkan: Jumaat, 7 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang gelandangan berusia 25 tahun terlepas daripada tali gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat melepas dan membebaskannya tanpa dipanggil membela diri atas tuduhan membunuh seorang warga Myanmar, dua tahun lepas.

Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Abdul Aziz Ibrahim.

Dalam penghakimannya, Amelia berkata kes pendakwaan bergantung terutamanya kepada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian iaitu di Restoran Shukran, Wisma Cahaya Suria, Jalan Tun Tan Cheng Lock, di sini.

Beliau berkata mahkamah tidak mengatakan dalam kes yang sesuai di mana rakaman CCTV jelas merakamkan perbuatan sesuatu kesalahan dilakukan dan identiti pelaku jelas dikenalpasti tetapi kes prima facie tidak boleh dibuktikan hanya semata-mata berdasarkan kepada rakaman CCTV.

"Mahkamah mendapati bahawa tanpa bukti rakaman CCTV itu, pendakwaan telah gagal membuktikan bahawa tertuduh yang telah menyebabkan kematian si mati," kata Amelia.

Berikutan kegagalan itu, beliau berkata tidak ada keperluan bagi mahkamah mempertimbangkan sama ada perbuatan dilakukan dengan niat untuk menyebabkan kecederaan kepada si mati dan sama ada kecederaan itu mencukupi dalam amalan biasa untuk menyebabkan kematian.

Amelia berkata pihak pendakwaan juga gagal mengemukakan perakuan kepada bukti rakaman CCTV itu.

"Mahupun ada sebarang keterangan lisan dikemukakan daripada saksi pendakwa, juruteknik Zaidi Hanapi, untuk menunjukkan rakaman CCTV dihasilkan oleh komputer seperti dalam amalan penggunaan biasa," katanya.

Beliau berkata tanpa bukti rakaman CCTV itu, mahkamah juga tidak dapat menemui kes prima facie atas sebarang tuduhan yang lebih rendah.

Mohd Abdul Aziz, dari Kampung Tepi Laut, Menumbuk, Sabah,didakwa membunuh Bar Bar di restoran berkenaan, berdekatan Pudu Sentral pada pukul 12.40 pagi, 15 Okt, 2011.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, P. Viknesvaran manakala tertuduh diwakili peguam Halim Ashgar Hilmi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan