Permohonan Tian Chua Batal Tuduhan Menghasut Berhubung Isu Lahad Datu Didengar 4 Julai

Diterbitkan: Khamis, 6 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 4 Julai ini untuk mendengar permohonan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua bagi membatalkan pertuduhan menghasut yang dihadapinya berhubung isu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 50, memfailkan permohonan itu pada 12 April lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farizul Hassan Bakri memaklumkan tarikh berkenaan ketika kes itu disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norsharidah Awang.

Norsharidah menetapkan 19 Julai untuk sebutan kes itu.

Pada 14 Mac lepas, Tian Chua mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyebut perkataan menghasut, termasuk menyatakan bahawa serangan tembak-menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan Umno untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.

Tian Chua, yang juga Anggota Parlimen Batu didakwa melakukan kesalahan itu di No. 62-2-A Fraser Business Park, Jalan Metro Pudu off Jalan Yew, di sini pada pukul 11 pagi, 1 Mac lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama dan boleh dipenjara maksimum lima tahun bagi kesalahan seterusnya.

Tian Chua diwakili peguam Michelle Yesudas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan