Keganasan: Mahkamah Rayuan Keluar Waran Tangkap Terhadap Suri Rumah

Diterbitkan: Jumaat, 31 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini Jumaat mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang suri rumah yang pernah didakwa bersama bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat, setelah wanita itu gagal hadir ke mahkamah.

Tiga anggota panel hakim diketuai Hakim Datuk Seri Abu Samah Nordin membuat keputusan itu terhadap Halimah Hussein setelah pihak pendakwaan memaklumkan Halimah gagal dikesan.

Halimah sepatutnya hadir dalam prosiding rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskannya bersama Yazid dan rakan mereka, Muhammad Hilmi Hasim dalam kes menggalakkan keganasan.

Hakim Abu Samah, Hakim Datuk Azahar Mohamed dan Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh memerintahkan sedemikian mengikut Seksyen 56(A) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Berdasarkan akta itu, jika rayuan dikemukakan berhubung sesuatu pembebasan, Mahkamah Rayuan boleh mengeluarkan waran mengarahkan supaya tertuduh ditangkap dan dibawa di hadapannya dan boleh menahannya di penjara sementara menunggu keputusan rayuan itu atau membenarkannya dijamin.

Mahkamah menetapkan 18 Jun untuk mendengar rayuan itu.

Pada prosiding ini, hanya Yazid dan Muhammad Hilmi hadir di kandang tertuduh.

Kedua-duanya telah dilepas dan dibebaskan bersama Halimah pada 20 Mei lalu tetapi ditahan dan didakwa semula pada Isnin lepas (27 Mei) atas pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas Tanzim Al-Qaeeda Malaysia, di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Hakim Mahkamah Tinggi Kamardin Hashim membuat keputusan itu (pada 20 Mei) selepas membenarkan permohonan ketiga-tiga tertuduh untuk membatalkan pertuduhan terhadap mereka yang didakwa menggalakkan keganasan bagi mengugut orang awam di Syria.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria memberitahu mahkamah pihaknya telah cuba mengesan Halimah selepas dia dibebaskan tetapi gagal.

Mohamad Hanafiah berkata pihaknya bersedia meneruskan prosiding tanpa kehadiran Halimah tetapi dibantah peguam Amer Hamzah Arshad kerana menurutnya dalam prosiding rayuan kes jenayah, tertuduh perlu hadir ke mahkamah.

Amer Hamzah turut memberitahu bahawa pihak pendakwaan juga perlu memutuskan sama ada membuat perbicaraan bersama ketiga tertuduh atau sebaliknya kerana notis rayuan telah menamakan ketiga-tiganya sebagai responden.

Beliau berkata khidmatnya sebagai peguam kepada Halimah juga telah tamat selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan dan bagi prosiding hari ini, beliau hanya mewakili Yazid serta Muhammad Hilmi.

Pada Februari lepas, Yazid, 49, pengusaha kafeteria di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, didakwa menggalakkan keganasan bagi mengugut orang awam di Syria manakala rakannya, Halimah, 42, dan pembantu kafeteria Muhammad Hilmi, 33, didakwa bersubahat dengan Yazid melakukan kesalahan itu.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka melakukan kesalahan itu untuk memajukan suatu ideologi, dan perbuatan itu diniatkan bagi mengugut orang awam di Syria di sebuah rumah di Taman Bukit Ampang antara 8.30 pagi dan 10.30 pagi pada 1 Ogos hingga 20 Oktober 2012.

Yazid didakwa mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan, manakala Halimah dan Muhammad Hilmi mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan