Mohamad Salleh Percaya 100 Peratus Shamsubahrin Beri Khidmat Konsultansi

Diterbitkan: Jumaat, 24 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail memberitahu Mahkamah Sesyen di sini beliau mempercayai ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail seratus peratus dalam memberikan khidmat nasihat serta konsultansi bagi membantu memulihkan nama baik syarikat dan keluarganya.

Mohamad Salleh, 65, berkata kepercayaan itu kerana tertuduh menggunakan nama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyakinkan beliau dan Shamsubahrin juga dilihat mempunyai hubungan rapat dengan polis.

"Kita memang terdesak, jadi kita anggap orang yang dihantar oleh Tun Dr Mahathir ini mempunyai karektor yang baik serta boleh membantu syarikat dan keluarga," katanya pada pemeriksaan utama oleh Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa.

Saksi ke-42 pendakwaan itu berkata beliau tidak mengambil tindakan drastik terhadap Shamsubahrin walaupun menyedari telah diperdaya kerana tiada bukti nyata bahawa tertuduh bukan seorang konsultan.

Beliau juga berkata NFC melantik konsultan lain selepas Shamsubahrin gagal menjalankan tugasnya meskipun pembayaran sudah dibuat.

Mohamad Salleh berkata demikian pada perbicaraan Shamsubahrin yang berdepan 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.755 juta mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua- duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Shamsubahrin juga berdepan lima pertuduhan menipu Mohamad Salleh membabitkan jumlah sama mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Penolong Penguasa SPRM Mohd Shaufi Shaharuddin pula memberitahu mahkamah beliau ada merakam percakapan Dr Mahathir berhubung dakwaan Shamsubahrin bahawa bekas perdana menteri itu memintanya untuk membantu Mohamad Salleh.

"Bagaimanapun, beliau (Dr Mahathir) menafikan dakwaan itu," katanya. Mohd Shaufi, 28, juga berkata berdasarkan siasatan, kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan lebih lengkap kerana tertuduh telah memperdayakan Mohd Salleh dengan mendakwa duit yang diterima adalah untuk membayar polis dan timbalan pendakwa raya.

"Selain itu, tertuduh juga memperdaya Mohamad Salleh dengan membawa beberapa individu dalam pasukan konsultansi sedangkan individu itu tidak tahu menahu tentang konsultansi berkenaan," katanya.

Perbicaraan di depan Hakim Rozilah Salleh bersambung 28 Jun ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan