Kes Sosilawati: Bekas Peguam, Tiga Yang Lain Dijatuhi Hukuman Gantung Sampai Mati

Diterbitkan: Khamis, 23 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Tiga tertuduh kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, R.Matan (kiri), T.Thilaiyalagan (dua kiri) dan bekas peguam N Pathmanabhan (kanan) diiringi anggota polis selepas mahkamah memutuskan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati, bagi kesalahan melupuskan mayat jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Khamis. -fotoBERNAMA
Tiga tertuduh kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, R.Matan (kiri), T.Thilaiyalagan (dua kiri) dan bekas peguam N Pathmanabhan (kanan) diiringi anggota polis selepas mahkamah memutuskan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati, bagi kesalahan melupuskan mayat jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Khamis. -fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis mendapati bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya bersalah membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain tiga tahun lepas, dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan sedemikian selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Pathmanabhan serta tiga pekerja ladang iaitu T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 33, didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Barisan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani sementara Pathmanabhan diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon dan Pushpa Ratnam, Thilaiyalagan diwakili Gurbachan Singh, Matan diwakili peguam Amer Hamzah Arshad manakala Kathavarayan diwakili peguam Hasshahari Johari Mawi.

Dalam penghakimannya, Hakim Akhtar merumuskan soal tanah adalah motif utama pembunuhan Sosilawati.

Katanya beliau pernah menyebut pada peringkat kes pendakwaan bahawa mungkin motif dan alasan untuk membunuh Sosilawati ialah ketidakupayaan tertuduh pertama Pathmanabhan untuk menjelaskan pembayaran cek yang dikeluarkan kepada Sosilawati.

Bagaimanapun, selepas mengambil kira keterangan Pathmanabhan, beliau mendapati terdapat alasan lain yang lebih menyakinkan yang secara tidak sengaja diberitahu oleh Pathmanabhan sendiri dalam keterangannya iaitu soal tanah, katanya.

Akhtar berkata Pathmanabhan memberikan keterangan mengenai dua urusan tanah yang beliau terlibat dan telah mewakili kedua-dua belah pihak untuk urusan sama serta amat berminat dalam transaksi itu dan tindakan berkenaan bukan sahaja tidak beretika tetapi juga menjejaskan kedudukannya untuk berlaku adil.

Beliau berkata Pathmanabhan telah mewakili Sosilawati dan juga bekas anggota Dewan Undangan Negeri Sementa Datuk Abdul Rahman Palil dalam urusan sama, dan dengan berbuat demikian, telah terperangkap dalam keadaan 'ditelan mati emak, diluah mati bapa".

"Di satu pihak ialah Sosilawati, seorang usahawan terkenal, dan di satu lagi pihak ialah Rahman Palil, perkataan yang digunakan tertuduh pertama, seorang ahli politik berkuasa. Malah, tertuduh pertama dalam keterangannya menyatakan dia keberatan untuk mengaturkan pertemuan melibatkan kedua-duanya apabila diminta mengaturkan pertemuan itu.

"Apabila terdesak, sepertimana yang berlaku ke atas tertuduh pertama dalam kes ini, dia mengambil jalan mudah dengan menghapuskan seorang daripada mereka dan, malangnya yang menjadi mangsa ialah Sosilawati. Tiga orang yang menemani Sosilawati secara kebetulan berada di tempat dan masa yang salah," katanya dalam penghakiman bertulisnya setebal 15 muka surat.

Mengikhtisarkan semula keterangan dalam kes pendakwaan, Akhtar berkata destinasi Sosilawati pada tengah hari 30 Ogos, 2010, sepertimana diberitahu oleh anggota keluarganya, ialah untuk bertemu Pathmanabhan bagi tujuan mempercepatkan tarikh pembayaran dua cek dikeluarkan firma peguam itu, dan pihak pendakwaan pada ketika itu, menerusi rekod telekomunikasi, menggariskan carta perjalanan Sosilawati dan rakan-rakannya ke Banting, dan lokasi terakhir perjalanan itu, mengikut rekod itu, sebuah ladang yang kemudian dibuktikan milik Pathmanabhan.

Katanya pihak pendakwaan selanjutnya membuktikan Sosilawati dan rakan-rakannya itu malahan berada di ladang itu menerusi keterangan seorang pembantu rumah yang bekerja di ladang itu, Siti Hamidah Karnax, (saksi pihak pendakwaan) yang ada melihat seorang wanita dan tiga lelaki masuk ke ladang itu.

Akhtar berkata keterangan selanjutnya daripada anggota keluarga menunjukkan Sosilawati dan tiga individu itu gagal pulang dari Banting dan juga tidak menjawab panggilan telefon.

Beliau berkata adalah di luar kelaziman bagi Sosilawati dan rakan-rakannya untuk tidak memaklumkan kepada anggota keluarga mengenai di mana mereka berada, dan anggota keluarga mereka bimbang dengan apa yang mungkin terjadi kepada mereka dan keadaan itu mendorong mereka membuat laporan polis.

Katanya bertindak atas laporan itu dan semasa menjalankan siasatan lanjut, polis merumuskan sebagai ada kaitan dengan ladang milik Pathmanabhan dan menahan lima orang termasuk tertuduh kedua Thilaiyalagan, dan tertuduh keempat Kathavarayan, pada 9 September 2010.

Beliau berkata siasatan awal di ladang itu tidak mendedahkan apa-apa yang mencurigakan, tetapi akhirnya mendapat petunjuk pada 12 Sept, 2010, dan berdasarkan maklumat diberikan tiga orang yang ditahan itu termasuk Thilaiyalagan dan Kathavarayan, polis pergi ke ladang itu semula.

Pada kunjungan itu, berdasarkan maklumat diberikan, khususnya oleh Thilaiyalagan dan Kathavarayan, Akhtar berkata polis menemui kesan bakar di belakang ladang itu, dan apabila menggali kawasan terbakar itu, polis menemui beberapa tulang dan beberapa daripada tulang itu kemudiannya disahkan oleh pakar sebagai tulang manusia yang telah rentung, menunjukkan mereka telah dibakar pada darjah suhu amat tinggi.

Katanya siasatan lanjut di ladang itu menemui satu kawasan dengan mempunyai kesan darah dan kayu pemukul kriket dengan kesan darah dan analisis ke atas darah itu oleh ahli kimia menunjukkan darah itu ada yang sepadan dengan Sosilawati dan rakan-rakannya.

Akhtar berkata inferens yang dapat dirumuskan daripada fakta itu ialah sesuatu tidak diingini telah berlaku ke atas Sosilawati dan tiga individu itu di ladang dan fakta ini diperkukuhkan oleh keterangan Siti Hamidah yang dia terdengar jeritan wanita pada 30 Ogos, 2010, di ladang itu serta melihat api menjulang setinggi pokok kelapa sawit berdekatan.

Beliau berkata tertuduh kedua dan keempat telah memberikan maklumat yang membawa polis ke beberapa tempat di Banting serta satu kawasan di Subang Jaya apabila mereka menemui kereta yang dinaiki Sosilawati dan tiga individu itu ke Banting untuk berjumpa Pathmanabhan, telefon bimbit dan jam tangan dikenal pasti oleh anggota keluarga, sebagai milik Sosilawati dan tiga individu itu, penemuan batang kayu dan atap zink yang terbakar, sesetengahnya ada kesan darah.

"Darah yang ditemui pada kepingan atap zink sepadan (dengan) seorang anggota kumpulan Sosilawati. Kehadiran batang-batang kayu di ladang itu juga diberitahu oleh Siti Hamidah apabila dia ternampak pekerja ladang itu, termasuk tertuduh ketiga Matan, memunggah kayu itu sehari sebelumnya," katanya.

Mengenai andaian peguam bela bahawa beliau mungkin terpengaruh untuk memanggil keempat-empat tertuduh membela diri kerana tumpuan media terhadap kes itu, Akhtar berkata seorang hakim itu, dalam membuat keputusan kes, berdepan lebih banyak bahaya daripada pengaruh kepetahan peguam bela atau kearifan pihak pendakwaan dan kedua-dua pihak bijak mengalih tumpuan mahkamah kepada faktor-faktor yang memihak kepada mereka tetapi pandai meminggirkan faktor-faktor yang mungkin boleh menjejaskan kes atau teori mereka.

"Pada fikiran saya, seorang hakim juga perlu berhati-hati dengan kebijaksanaan peguam bela dan pihak pendakwaan sepertimana juga beliau perlu berhati-hati dengan media. Fokus hakim perlu sentiasa kepada seluruh keterangan yang dikemukakan dalam kes dan bukan perkara lain. Saya perlu juga menambah (bahawa) hakim tidak harus dipengaruhi emosi atau kecemerlangan peribadi dalam membuat keputusan sesuatu kes dan saya memutuskan kes ini dengan amat berhati-hati," katanya.

Dalam menilai keterangan pihak pembelaan, Hakim berkata Pathmanabhan menafikan ada berjumpa Sosilawati pada malam atau petang 30 Ogos, 2010, di ladang itu atau di mana-mana tempat lain dan dengan itu dia tiada kaitan dengan apa yang berlaku ke atas mereka, dan keterangan itu disokong oleh keterangan Thilaiyalagan dan Matan yang juga menyatakan tiada perkara tidak diingini berlaku pada malam 30 Ogos, 2010, atau hari berikutnya.

Akhtar berkata bagi beliau, penafian Pathmanabhan pernah berjumpa Sosilawati pada 30 Ogos 2010, tidak selari dengan keterangan anak perempuan Sosilawati yang wanita itu telah menyatakan secara spesifik yang dirinya mahu pergi ke Banting untuk berjumpa Pathmanabhan berhubung pembayaran dua cek itu.

Beliau berkata pengeluaran dua cek itu tidak dinafikan oleh Pathmanabhan dan pengemukaan dua cek itu di mahkamah menyokong kewujudannya.

Lagi pun, beliau berkata anak perempuan Sosilawati tidak mempunyai sebarang permusuhan dengan Pathmanabhan atau tertuduh lain untuk berbohong berhubung perkara itu, dan satu lagi fakta yang tidak dapat dipertikaikan ialah Sosilawati pergi ke Banting dengan pemandunya.

"Begitu juga, anggota keluarga yang lainnya juga tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dalam memberikan keterangan bahawa suami masing-masing telah mengikut Sosilawati demi tugas mereka. Turut tidak dapat dipertikaikan ialah bahawa peguam dan pegawai bank sering bertindak sebagai penasihat Sosilawati. Bagi mereka mengikut Sosilawati ke Banting bukan sesuatu yang tidak boleh dipercayai, malah telah dibuktikan menerusi beberapa perbualan telefon mereka dengan anggota keluarga mereka sepanjang perjalanan itu.

"Dengan keterangan kukuh oleh anggota keluarga, keputusan saya kekal utuh malahan selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan bahawa satu-satunya sebab Sosilawati dan tiga individu itu pergi ke Banting ialah untuk berjumpa Pathmanabhan. Nama-nama yang disebut oleh pihak pembelaan iaitu Abdul Rahman Palil dan lainnya yang dikenali Sosilawati hanya sekadar alasan. Lagi pun, hakikat bahawa nama-nama itu tidak dipanggil sebagai saksi menunjukkan mereka tidak memainkan apa-apa peranan dalam kes ini dan, mereka juga tidak dipanggil oleh pihak pembelaan," katanya.

Akhtar berkata beliau juga percaya dengan keterangan tertuduh keempat Kathavarayan bahawa Sosilawati dan tiga individu itu ada datang ke ladang itu pada 30 Ogos, 2010, dan ada berjumpa Pathmanabhan walaupun beliau sedar mungkin ada perselisihan antara Kathavarayan dan Pathmanabhan.

Beliau berkata kesemua tertuduh juga tidak dapat memberikan penjelasan mengenai barangan milik Sosilawati dan tiga individu itu yang ditemui hasil keterangan empat orang yang ditahan dan pihak pembelaan juga tidak menawarkan penjelasan baharu mengenai kenapa maklumat itu tidak patut digunakan terhadap tertuduh, selain daripada mengulangi dakwaan sebelum itu mengenai kekerasan telah digunakan ke atas mereka.

"Saya akan tekankan di sini bahawa polis tidak mungkin menemui tempat-tempat itu secara sendirian tanpa dipandu oleh pemberi maklumat kepada penemuan mereka. Pengetahuan tertuduh kedua dan keempat berhubung barangan yang ditemui menunjukkan barangan itu berada dalam pemilikan mereka sebelum ianya dibuang.

"Barangan milik Sosilawati dan tiga individu itu yang berada dalam pemilikan tertuduh kedua dan keempat hanya membawa kepada inferens yang logik, iaitu ia diperoleh daripada Sosilawati dan tiga individu itu dan diperoleh secara paksa.

"Tiada penjelasan diberikan trtuduh mengenai penemuan darah dan tulang manusia di ladang itu, sekali lagi tiada cubaan dibuat untuk mencabar keterangan DNA. Tiada sebab untuk saya memadamkan keterangan pakar-pakar yang telah saya terima sebelum ini terutamanya pihak pembelaan tidak mengemukakan sebarang keterangan pakar yang lain. Penemuan darah dan tulang manusia yang rentung di ladang itu telah menghasilkan satu-satunya inferens mengenai apa yang mungkin telah terjadi kepada Sosilawati dan tiga individu itu semasa mereka berada di ladang itu, yakni, mereka telah dibakar hingga mati," katanya.

Seterusnya, Akhtar berkata tertuduh keempat juga tidak meyakinkan apabila memberikan keterangan yang dia ada melihat Sosilawati seminggu kemudian semasa dia ada bersama Pathmanabhan kerana, apabila dia disoal siasat oleh Timbalan Pendakwa Raya mengenai identiti wanita yang dilihatnya, tertuduh keempat kelihatan mengelabah.

Katanya jika Kathavarayan benar-benar ada melihat Sosilawati masih hidup, itu adalah perkara pertama yang dia akan dedahkan kepada polis daripada membawa mereka ke tempat-tempat yang barangan milik Sosilawati dan tiga individu itu ditemui, dan dengan secara tiba-tiba menyatakan Sosilawati masih hidup dia berharap dapat mengalih prosiding ke arah lain.

Mengenai rekod prosiding dua saksi pihak pendakwaan, U. Suresh yang sebelum ini mengaku bersalah membuang abu mayat Sosilawati dan tiga individu itu dan K. Sarawanan yang mengaku bersalah membakar tubuh empat mangsa, Akhtar berkata prosiding di mahkamah majistret menunjukkan kedua-dua saksi telah mengaku salah dan mengakui melakukannya secara sukarela dan bercanggah dengan apa yang didakwa mereka sebelum itu di mahkamah bahawa mereka telah dipaksa melakukannya.

Beliau dengan itu memutuskan bahawa berikutan percanggahan dalam keterangan mereka di dua forum berbeza, keterangan mereka dalam perbicaraan ini tidak wajar diambil kira. Suresh, 29, dan Sarawanan, 22, sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang di Melaka.

Akhtar juga berkata beliau turut mengambil kira dua bantahan oleh pihak pembelaan supaya tidak menerima fakta dalam nota prosiding itu kerana Suresh dan Sarawanan adalah rakan subahat dan kerana kedua-dua saksi telah dianggap sebagai saksi belot dan kebolehpercayaan Suresh dicabar pada peringkat kes pendakwaan.

"Sepertimana yang saya nyatakan sebelum ini, fakta bahawa Suresh dan Sarawanan adalah rakan subahat bukan alasan untuk menolak keterangan mereka kerana undang-undang mengiktiraf rakan subahat sebagai saksi kompeten terhadap rakan subahat lain. Dalam kes ini, selepas mengingatkan diri saya sendiri, saya menganggap pengakuan Suresh dan Sarawanan berhubung fakta itu sebagai gambaran sebenar apa yang berlaku di ladang itu pada 30 Ogos, 2010. Lagipun, saya menganggap keterangan Suresh dan Sarawanan hanya tidak wajar diambil kira pada perbicaraan di hadapan saya dan dapatan ini tidak menjejaskan keterangan pada prosiding lainnya.

"Saya, dengan ini, menganggap fakta dalam prosiding berkenaan merupakan keterangan kukuh terhadap tertuduh dalam kes ini walaupun sekali lagi saya meletakkan kaveat (batasan) yang amat besar dengan menyatakan, secara sendirian, fakta dalam nota prosiding itu tidak mencukupi untuk mensabitkan keempat-empat tertuduh di hadapan saya.

"Malah, saya ingin menyatakan bahawa malahan tanpa fakta dalam nota prosiding yang dikemukakan dalam prosiding berkenaan, wujud keterangan keadaan yang mencukupi yang telah saya nyatakan sebelum ini untuk mensabitkan kesemua keempat-empat tertuduh," katanya.

Mengenai keterangan pakar bakar mayat di tempat terbuka, Akhtar berkata beliau yakin saksi adalah pakar membakar mayat mengikut upacara agama Hindu, tetapi adalah 'satu penghinaan terhadap kebijaksanaan' untuk menerima keterangannya dan menggunakannya sebagai asas untuk memutuskan bahawa tiada pembakaran mayat telah dilakukan pada 30 Ogos, 2010, di ladang itu.

Beliau berkata penemuan batang kayu terbakar, kesan tanah terbakar di ladang itu, kehadiran tulang manusia dan atap zink terbakar dengan kesan darah menunjukkan hakikat berlaku pembakaran manusia di ladang itu dan mungkin ia tidak dilakukan mengikut upacara agama Hindu tetapi pembakaran itu tetap berlaku.

"Semua keterangan dalam kes ini sesuai dengan perumpamaan "orang yang telah mati tidak menipu". Dalam kes ini, lelaki dan wanita yang mati itu telah menjeritkannya sekuat hati menerusi keterangan tanpa suara, satu kisah tidak amanah dan penipuan yang didorong oleh rasa tamak yang direncanakan oleh seorang lelaki yang profesionnya dihormati dan dipercayai.

"Profesional penipu seperti ini jarang ditemui dan hanya terdapat beberapa kerat, namun mangsa mereka bukan sahaja terdiri daripada kalangan orang miskin tetapi juga berkedudukan tinggi dan berkuasa. Kes ini membuktikan berlakunya perancangan jahat dan kejam dilakukan profesional penipu. Persoalannya sekarang ialah adakah cukup fakta untuk membuktikan pertuduhan membunuh sepertimana definisi dalam Kanun Keseksaan, dan kes ini tidak seperti kes lain kerana tiada mayat ditemui," katanya.

Akhtar juga berkata satu-satunya kes lain yang mempunyai ciri serupa ialah kes Sunny Ang di Singapura yang tertuduh didapati bersalah walaupun mayat mangsa tidak ditemui.

Beliau berkata dalam kes Ang, mangsa telah pergi ke laut dan tidak pulang manakala dalam kes ini empat mangsa telah pergi ke ladang dan tidak pulang.

Bagaimanapun, katanya terdapat lebih banyak keterangan dalam kes ini berbanding dalam kes Ang, iaitu dalam kes ini, sekurang-kurangnya kesan darah mangsa serta barangan peribadi mereka ditemui.

"Pendek kata, dalam kes ini mayat-mayat tidak lenyap sepenuhnya sepertimana dalam kes Sunny Ang. Saya dengan ini berpendapat tiada sebab kenapa tertuduh dalam kes ini tidak boleh disabitkan hanya kerana tiada mayat ditemui dan keterangan dalam kes ini memenuhi intipati yang diperlukan untuk membuktikan pertuduhan membunuh, iaitu empat tertuduh telah menyebabkan kematian Sosilawati dan tiga individu lain dan mereka mempunyai niat bersama dalam melakukannya, iaitu menyebabkan kematian dengan niat dan sedar dengan tindakan mereka itu.

"Saya berpuas hati bahawa dalam kes ini pihak pendakwaan telah membuktikan kes tidak melampaui keraguan munasabah terhadap pertuduhan dihadapi keempat-empat tertuduh dan saya mendapati semua empat tertuduh bersalah terhadap semua pertuduhan," katanya.

Akhtar juga mengambil kesempatan itu memuji polis bagi "penyiasatan kelas dunia" dan menghargai komitmen pasukan pendakwaan dan pembelaan sepanjang perbicaraan itu.

"Walaupun penyiasatan polis dalam kes ini tidak boleh mencapai tahap penyiasatan buku teks 100 peratus sepertimana dihujahkan oleh peguam bela yang bijaksana, hakikatnya tidak mungkin wujud jenis penyiasatan buku teks 100 peratus kerana sebaik sahaja para penyiasat berada di lapangan terdapat banyak faktor yang perlu mereka teliti.

"Disebalik telah diasak semasa pemeriksaan balas, saya menganggap penyiasatan polis dalam kes ini merupakan penyiasatan kelas dunia dan penyiasatan secara menyeluruh telah dilakukan. Polis komited untuk menyelesaikan jenayah.

Hakim berkata walaupun perbicaraan berlangsung lebih 100 hari, beliau bernasib baik kerana mempunyai kumpulan pendakwa raya dan peguam bela yang profesional dan membantu dalam menyoal dan memeriksa dengan teliti dan memeriksa balas.

"Saya benar-benar kagum dan berpuas hati dengan prestasi peguam bela yang bukan sahaja berusaha keras untuk membuktikan tertuduh tidak bersalah tetapi juga dalam pemilihan fakta kes yang mungkin membantu atau tidak membantu kes mereka tetapi saya fikir mereka telah melakukan tugas mereka dengan cemerlang.

"Hakikat bahawa kes ini dapat diselesaikan seperti dijadual, saya fikir ini adalah hasil bantuan yang saya terima daripada pihak pendakwaan dan peguam bela dan bagi saya, kelas dunia," katanya.

Sebanyak 108 saksi pihak pendakwaan dan 30 saksi pihak pembelaan memberikan keterangan pada perbicaraan yang bermula 4 Julai, 2011, dan membabitkan 742 eksibit, dengan nota prosiding mencecah hampir 6,000 muka surat.- BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan