Kes Bunuh Dirang: Buruh Diperintah Bela Diri

Diterbitkan: Khamis, 23 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Mahkamah Tinggi memerintahkan seorang buruh membela diri atas pertuduhan membunuh Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, yang rangkanya ditemui di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai pada Mac tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Muidin Maidin, 26.

Dalam penghakimannya, Abdul Halim berkata terdapat empat asas bagi keputusan itu iaitu penemuan DNA tertuduh dalam sampel daripada kemaluan dan dubur mangsa serta persamaan sampel tanah daripada motosikal tertuduh dengan sampel yang diambil di lokasi mayat mangsa ditemui.

Selain itu, cebisan kain terbakar di leher jasad mangsa yang berpadanan dengan kain milik tertuduh dan perlakuan tertuduh menunjukkan tempat kejadian yang relevan dengan episod pembunuhan mangsa.

Abdul Halim berkata keterangan saksi berkaitan penemuan DNA itu merupakan asas paling penting sebelum beliau memerintahkan Muidin membela diri.

Muidin kemudian memilih untuk memberi keterangan dari kandang tertuduh.

Dia didakwa membunuh Nurul Nadirah di Ladang Kelapa Sawit, Jalan Suria 47, Bandar Seri Alam antara 11.30 pagi 1 Mac 2012 dan 12 malam 2 Mac 2012 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Nurul Nadirah dilaporkan hilang pada 1 Mac tahun lepas ketika keluar membeli mi segera dan telur di kedai runcit berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam sebelum disahkan meninggal dunia akibat dibunuh dan dibakar pada 12 Mac tahun lepas.

Kematiannya disahkan melalui ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) terhadap rangka manusia yang ditemui di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai pada 8 Mac tahun lepas.

Pada prosiding Khamis, Muidin berkata dia tidak terlibat dengan kehilangan Nurul Nadirah, dianiaya dengan pertuduhan membunuh serta tidak pernah berdendam dengan keluarga mahupun kanak-kanak itu sendiri.

Muidin juga berkata pada hari kanak-kanak itu dilaporkan hilang, dia berada bersama rakan, Lans Koperal Wan Arif Wan Abdullah dan abang angkatnya, Abdul Muhammad Abd Samad.

Wan Arif, 43, dari Balai Polis Pasir Gudang dan Abdul Muhammad, 29, yang merupakan seorang buruh, kemudian memberi keterangan sebagai saksi pembelaan.

Dalam keterangannya, Wan Arif berkata beliau bertemu Muidin sehari sebelum itu manakala Abdul Muhammad pula mengesahkan berada bersama tertuduh pada 1 Mac tahun lepas.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Jun depan untuk mendengar keterangan seorang pakar DNA dan 14 Jun bagi hujahan di akhir kes pembelaan.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Pendakwaan Umar Saifuddin Jaafar dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar manakala Muidin diwakili peguam Mohd Daud Ismail dan Mohamad Abd Kadir.

Perbicaraan kes itu, yang bermula 25 Februari lepas, menyaksikan pendakwaan memanggil 35 saksi dan 131 eksibit. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan