Keterangan Empat Tertuduh Kes Bunuh Sosilawati Perlu Ditolak - DPP

Diterbitkan: Rabu, 15 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Keterangan empat tertuduh dalam kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain adalah tidak selamat dan tidak boleh dipercayai, Mahkamah Tinggi diberitahu, Rabu.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Saiful Edris Zainuddin berkata ini kerana keterangan tertuduh keempat bercanggah dengan keterangan tertuduh lain, terutama berhubung isu sama ada Sosilawati dan tiga individu lagi berada di Ladang Gadong pada 30 Ogos 2010, selain pembabitan mereka membunuh sekurang-kurangnya tiga mangsa iaitu pegawai bank Noorhisham Mohamad, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin.

"Berikutan itu, soalan yang timbul ialah versi pembelaan yang mana satu benar atau mampu menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Semua keterangan tertuduh tidak boleh dipercayai, termasuk keterangan tertuduh keempat, oleh itu, mana-mana keterangan mereka yang tidak konsisten dengan kes pendakwaan adalah tidak selamat untuk dipercayai dan perlu ditolak," katanya di akhir kes pembelaan pada perbicaraan bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang yang didakwa membunuh Sosilawati serta tiga individu lain.

Pathmanabhan, T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Khatavarayan didakwa membunuh Sosilawati, 47, Noorhisham, 38, Ahmad Kamil, 32, dan Kamaruddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Saiful Edris juga berkata keterangan pendakwaan berhubung isu penemuan mengikut Seksyen 27 Akta Keterangan 1950 masih utuh serta perlu diterima oleh mahkamah tanpa sebarang keraguan.

Beliau turut menggesa mahkamah mengkaji semula bukti berhubung kejadian serupa yang dikemuka dua saksi pendakwaan iaitu Samson Nahar Mohamed Dali dan Usharani Sethuraman.

Katanya, kedua-dua saksi mengesahkan suami masing-masing iaitu Shafiq Davendran Abdullah dan Allal Kathan Muthuraja telah pergi ke Banting untuk bertemu Pathmanabhan atas urusan perniagaan, dan selepas itu, mereka hilang tanpa dapat dikesan sehingga hari ini.

Saiful Edris berkata bekas pembantu rumah Pathmanabhan, iaitu Siti Hamidah Karnax juga memberi keterangan beliau ada melihat kedua-dua lelaki di ladang berkenaan dan menyaksikan unggun api besar selepas itu sama seperti kes Sosilawati.

Beliau juga berhujah terdapat persamaan dalam fakta kedua-dua lelaki bertemu Pathmanabhan di Ladang Gadong seperti Sosilawati dan tiga lagi, yang menyaksikan semua mangsa hilang begitu sahaja sehingga kini. Saiful Edris juga berhujah pihak pendakwaan membuktikan bahawa tujuan Sosilawati ke Banting bertemu Pathmanabhan ialah untuk berbincang soal tanah dan mempercepat pembayaran cek bernilai RM3 juta bagi membolehkan beliau menggunakan wang itu untuk memberi bonus kepada pekerjanya selain kegunaan peribadi sempena sambutan Hari Raya Puasa pada 10 September 2010.

Beliau berkata berdasarkan keterangan pegawai bank Yvonne Tiong Guat Choo, pada 30 Ogos 2010 (hari Sosilawati dan tiga lagi hilang), Pathmanabhan hanya mempunyai RM1.38 juta dalam akaunnya dan jumlah itu tidak cukup bagi menjelaskan pembayaran cek Sosilawati.

"Pathmanabhan dan peguamnya (Manjit Singh Dhillon) cuba berhujah bahawa akaun bank Pathmanabhan tidak mempunyai jumlah yang mencukupi kerana akaun itu telah dibekukan atas arahan polis, namun mereka gagal mengemukakan sebarang bukti bagi menunjukkan arahan sedemikian wujud.

"Tambahan pula, Pathmanabhan hanya ditahan pada 11 September 2010, iaitu dua hari selepas tarikh cek.

"Kesimpulannya, motif jumlah wang yang tidak mencukupi untuk menjelaskan pembayaran cek merupakan satu alasan kukuh untuk membunuh Sosilawati serta rakan lain dan ia tidak dapat disangkal," katanya.

Perbicaraan di depan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung 21 Mei ini. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan