Wanita Didakwa Lindungi Pengganas

Diterbitkan: Selasa, 14 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Seorang wanita warga tempatan berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup setelah didakwa melindungi pengganas.

Norhaida Ibnahi, 46, didakwa atas pertuduhan itu di Mahkamah Tinggi yang bersidang khas secara tertutup di Penjara Tawau pada Selasa.

Norhaida, tertuduh wanita pertama dalam kes ini, didakwa melindungi sekumpulan pengganas di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Melor, Bugaya, Semporna dari 9 Februari hingga 22 Mac lalu.

Dalam prosiding itu juga, seorang lagi warga tempatan, Abdul Majil Jubin, 41, didakwa atas dua pertuduhan iaitu melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong dan menganggotai kumpulan pengganas.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Lihak-Lihak, Semporna dari 9 Februari hingga 13 Mac.

Seramai lapan warga Filipina turut didakwa atas dua pertuduhan melibatkan keganasan.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan dibuat oleh kesemua tertuduh.

Datu Amirbahar Hushin Kiram, anak saudara kepada ketua pengganas Jamalul Kiram, didakwa bersama tujuh warga Filipina lain setelah kes terhadap mereka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Datu Amirbahar, Rijmal Salleh, Saidili Jaharul, Dani Ismail, Pabblo Alie, Mohamad Ali Ahmad, Basil Samiul dan Rizman Gulan didakwa melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong dan menganggotai kumpulan pengganas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 9 Februari dan 10 April lalu di beberapa lokasi berasingan iaitu Kampung Tanduo, Lahad Datu; Kampung Muanad, Beluran dan di Jalan Lihak-Lihak, Semporna.

Bagi pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup manakala pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas menurut Seksyen 130KA kanun sama, membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda.

Bagi kesalahan melindungi pengganas, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130K Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan denda atau penjara sehingga 20 tahun atau denda.

Selepas selesai prosiding, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memberitahu pemberita kes terhadap 14 warga Filipina dan seorang warga tempatan, Abd Hadi Mawan, 49, turut didengar pada Selasa di hadapan Hakim P. Ravinthran.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang pengakuan direkodkan dan Hakim Ravinthran menetapkan 7 Jun untuk sebutan semula.

Abdul Gani berkata pada tarikh sama juga, kes pengakuan kesemua tertuduh akan diambil (sekiranya diwakili peguam) dan hakim akan memutuskan sama ada kes tersebut perlu dibicara bersama atau sebaliknya.

Peguam pemerhati bagi warga Filipina, Datuk John Sikayun memberitahu pemberita bahawa ketika prosiding, pihak pendakwaan telah mengemukakan permohonan supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan pada 7 Jun ini juga peguam bagi pihak tertuduh akan hadir ke mahkamah, sama ada peguam yang dilantik oleh tertuduh sendiri atau oleh pihak kedutaan Filipina.

Mereka yang dituduh sebelum ini bagi kesalahan memerangi Yang di-Pertuan Agong ialah Atik Hussin Abu Bakar, Basad Manuel, Masir Aidin, Ismail Yasin, Anwar Salib Akhmad, Binhar Salib Akhmad, Virgilio Nemar Patulada @ Mohammad Alam Patulada, Salib Akhmad Emali, Wazir Osman@Abdul, Abd Hadi Mawan, Tani Lahad Dahidan Julham Rashid.

Kesemua mereka turut didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas bersama Aiman Radie, Lin Mad Salleh, Holland Kalbi, Habil Suhaili dan Timhar Hadir.

Selain itu, Kadir Uyung dan Lating Tiong didakwa cuba melindungi sekumpulan pengganas dan Salib Akhmad (juga didakwa memerangi Yang di-Pertuan Agong) turut didakwa merekrut orang sebagai anggota kumpulan pengganas dan melindungi pengganas.

Sehingga kini, 29 tertuduh menghadapi pertuduhan mengikut pelbagai kesalahan keganasan dan 26 daripadanya adalah warga Filipina, selebihnya termasuk seorang wanita adalah warga tempatan.

Kesemua mereka sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah di Lahad Datu, Semporna dan Beluran.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan memberitahu Bernama bahawa prosiding yang sepatutnya berlangsung di Mahkamah Tinggi Tawau itu terpaksa ditukar ke Penjara Tawau atas faktor keselamatan.

Sekitar kawasan penjara dikawal ketat oleh unit kawalan udara serta anggota keselamatan bersenjata.

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan