Pendaftaran Balkis: Mahkamah Rayuan Kekalkan Keputusan Mahkamah Tinggi

Diterbitkan: Khamis, 18 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini Khamis mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan Balkis kembali bergerak setelah pendaftarannya dibatalkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 2009.

Panel hakim tiga anggota diketuai Hakim Datuk Balia Yusof Wahi menolak rayuan balas ROS terhadap keputusan membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Puan Sri Salbiah Tunut, isteri Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, bagi perintah mahkamah untuk mengenepikan keputusan ROS membatalkan pendaftaran pertubuhan itu.

Sementara itu, panel yang turut dianggotai Hakim Datuk Lim Yee Lan dan Hakim Datuk Hamid Sultan Abu Backer, membenarkan rayuan dikemukakan sembilan yang lain yang permohonan semakan kehakiman mereka telah ditolak mahkamah tinggi.

Sembilan pihak itu ialah kerajaan negeri Selangor, Permodalan Negeri Selangor Berhad, Kumpulan Darul Ehsan Berhad, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Worldwide Holdings Berhad, Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd, Selaman Sdn Bhd, PKNS Infra Berhad and PKNS Engineering & Construction Bhd.

Pada 16 Dis, 2011, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memerintahkan Balkis, Badan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Selangor, dibenarkan kembali bergerak dari tarikh pendaftarannya dibatalkan oleh ROS pada 11 Februari, 2009.

Mahkamah hanya membenarkan permohonan Salbiah dan menolak permohonan sembilan lagi pemohon, memutuskan mereka tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memohon perintah itu kerana mereka hanya penyumbang kepada pertubuhan itu.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Rohana Yusuf (kini hakim Mahkamah Rayuan), memutuskan Salbiah mempunyai locus standi untuk memohon perintah itu dan mengeluarkan perintah certiorari kepadanya untuk mengenepikan keputusan ROS membatalkan pendaftaran Balkis serta perintah mandamus bagi mengarahkan ROS menarik balik pembatalan pendaftaran pertubuhan itu.

Hakim Balia, dalam membenarkan rayuan sembilan pihak itu, memberikan mereka locus standi untuk memohon bagi perintah mahkamah yang sama.

Panel itu tidak mengeluarkan sebarang perintah mengenai kos.

Salbiah dan sembilan pemohon lain, yang diwakili peguam S.Selvarajah dan R.Ramanathan, memfailkan permohonan kebenaran untuk mengemukakan semakan kehakiman, menamakan ROS sebagai responden, bagi membatalkan keputusannya pada 11 Februari 2009, untuk membatalkan pendaftaran Balkis.

Mereka memohon perisytiharan bahawa keputusan ROS itu tidak sah di sisi undang-undang, batal dan tidak sah dan mahu pembatalan pendaftaran pertubuhan itu ditarik balik.

Mereka berhujah pembatalan pendaftaran Balkis adalah melanggar ketetapan perlembagaan pertubuhan dan Akta Pertubuhan 1966. Pada 11 September, 2009, mereka diberikan kebenaran untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman.

Balkis menjadi tajuk berita selepas Abdul Khalid mendakwa dana Balkis telah disalahgunakan semasa di bawah pimpinan presiden sebelumnya, Datin Seri Zaharah Kechik, isteri bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Peguam Kanan Persekutuan Effandi Nazila Abdullah mewakili ROS. -BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan