Pemandu Teksi Mengaku Tidak Bersalah Rogol Pelancong Warga Amerika Syarikat

Diterbitkan: Rabu, 17 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Seorang pemandu teksi pada Rabu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan merogol seorang pelancong warganegara Amerika Syarikat bulan lepas.

S. Prakash Kumar, 39, mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan itu terhadap guru berusia 24 tahun di sebuah bilik di Lakeside Villa Homestay di Taman Pantai Sepang Putra, Sungai Pelek, Sepang pada 1 pagi, 12 Mac lepas.

Dia yang berpakaian baju dan seluar warna ungu khas untuk orang yang di dalam tahanan reman, didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan rotan jika sabit kesalahan.

Hakim Mahkamah Sesyen Norhayati Mohd Yunus membenarkannya diikat jamin RM25,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 6 Mei ini untuk sebutan kes.

Norhayati juga memerintahkan Prakash Kumar yang tidak diwakili peguam, melaporkan diri di balai polis terdekat pada setiap minggu pertama pada setiap bulan sehingga selesai kesnya itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kamaliah Yahdi memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM40,000 memandangkan kesalahan yang dilakukan Prakash adalah serius.

Bagaimanapun, Prakash Kumar memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin itu atas alasan dia menanggung isteri yang tidak bekerja dan anaknya.

Di PETALING JAYA, Prakash Kumar bersama-sama dua lelaki mengaku tidak bersalah di tiga mahkamah berasingan di sini hari ini terhadap pertuduhan culik dan rompak berkumpulan ke atas wanita itu.

Di Mahkamah Majistret, Prakash Kumar, pemungut besi buruk, R. Muthu, 46, dan tukang cuci kereta, A.P. Joseph Aaron, 26, didakwa menculik dan melarikan wanita itu dengan niat hendak mengurungnya secara sulit di hadapan sebuah pusat beli-belah di Damansara, Kuala Lumpur pada 6 petang, 11 Mac lepas.

Mereka yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Surya Wati Shawal membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan mereka menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga selesai kes.

Muthu dan Joseph Aaron juga didakwa di Mahkamah Sesyen terhadap tuduhan bersama-sama merompak wang RM300 dan telefon bimbit kepunyaan wanita itu dengan bersenjatakan sebilah pisau di tempat, waktu dan masa yang sama.

Hakim Rozina Ayob membenarkan Muthu dan Joseph Aaron diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan mereka melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali sehingga pelupusan kes.

Sementara itu, Prakash Kumar dituduh di Mahkamah Sesyen yang lain atas tuduhan yang sama dan Hakim Yasmin Abdul Razak membenarkan Prakash diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga mahkamah itu menetapkan 16 Mei depan untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dalira Din, Wan Mohd Bukhari Wan Mohd dan Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan