Tian Chua Mohon Batal Pertuduhan Menghasut Berhubung Isu Lahad Datu

Diterbitkan: Jumaat, 12 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Tian Chua yang didakwa kerana menghasut berhubung isu pencerobohan Lahad Datu pada Jumaat memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya.

Peguam Eric Paulsen yang mewakili Tian Chua memaklumkan pihaknya telah memfailkan notis permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini berserta afidavit sokongan ketika kes itu disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norsharidah Awang.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 6 Jun depan untuk sebutan kes itu.

Pada 14 Mac lepas, Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 50, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyebut perkataan menghasut, termasuk menyatakan bahawa serangan tembak-menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan Umno untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.

Tian Chua, yang juga Anggota Parlimen Batu didakwa melakukan kesalahan itu di No. 62-2-A Fraser Business Park, Jalan Metro Pudu off Jalan Yew, di sini pada pukul 11 pagi, 1 Mac lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama yang boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama dan boleh dipenjara maksimum lima tahun bagi kesalahan seterusnya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan