Muhammad Ridhwan Fail Permohonan Habeas Corpus

Diterbitkan: Jumaat, 12 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Presiden Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiah Malaysia Datuk Seri Muhammad Ridhwan Sulaiman yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) pada Khamis memfailkan permohonan habeas corpus supaya dibebaskan dengan segera.

Muhammad Ridhwan yang diwakili isterinya, Datin Seri Nur Rina Abdullah, 39, memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui firma guaman Tetuan Praba & Associates.

Muhammad Ridhwan yang berusia 50-an, selaku pemohon menamakan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Dalam notis usul itu, Muhammad Ridhwan antara lain memohon perintah bahawa penahanannya oleh responden adalah tidak sah dan terbatal.

Beliau ditahan 1 April lalu selepas menyerah diri di Balai Polis Daerah Ampang Jaya selepas Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib menamakannya sebagai orang yang dicari untuk membantu siasatan berhubung kes berkaitan Operasi Daulat.

Selain itu Nur Rina turut mengemukakan surat daripada Sultan Sulu di Utara Borneo iaitu Sultan Muedzul-Lail Tan Kiram kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Polis Negara dan Pesuruhjaya Polis Sabah yang menyatakan bahawa Muhammad Ridhwan bukan seorang pengganas. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan