Bekas Penolong Pengurus Bebas Tuduhan Rasuah

Diterbitkan: Rabu, 10 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Bekas penolong pengurus syarikat pada Rabu dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan RM2,800.

Panel tiga anggota yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara menolak rayuan pembelaan ke atas pembebasan Raja Rozina Raja Harman oleh Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata, kes itu bertumpu terhadap fakta dan kredibiliti saksi pendakwaan yang mahkamah rayuan perlu mengurangkan campur-tangannya.

"Ini (fakta kes) dan kredibiliti saksi sudah didengar semasa perbicaraan dan tidak ada sebab untuk kami campur-tangan," katanya.

Hakim Mohamed Apandi berkata, sebahagian saksi pendakwaan juga merupakan suspek dan oleh itu faedah kesangsian wajar diberikan kepada Raja Rozina, 44.

Dua anggota panel lain yang mendengar rayuan itu ialah Hakim Datuk Linton Albert dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Raja Rozina didakwa menerima RM800 daripada Rodziah Ahmad menerusi Mohd Khair Abd Rahman sebagai dorongan untuk mendapat tender mengurus kantin di premis syarikat.

Bagi pertuduhan kedua, beliau dituduh menerima RM1,000 daripada Rodziah menerusi Mohd Khair bagi memperoleh tender itu.

Kedua-dua pertuduhan didakwa dilakukan di kantin Perak Textile Mill Sdn Bhd di Kuala Kangsar antara 5 Disember, 2005 dan 6 Januari, 2006.

Raja Rozina juga didakwa menerima RM1,000 daripada Rodziah sebagai dorongan untuk memperoleh tender mengurus kantin, di bilik mesyuarat syarikiat itu pada 6 Februari 2006.

Pada 25 Ogos, 2010, Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar melepaskan dan membebaskan Raja Rozina terhadap ketiga-tiga pertuduhan tanpa perlu membela diri.

Atas rayuan oleh pendakwaan di Mahkamah Tinggi, Raja Rozina diarah membela diri.

Mahkamah Sesyen kemudiannya membebaskannya pada akhir kes pembelaan dan Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan itu tahun lepas.

Peguam Gurbachan Singh yang mewakili Raja Rozina berkata operator kantin itu dan Rodziah merupakan saksi yang tidak boleh dipercayai dan keterangan mereka tidak boleh digunakan oleh pendakwaan untuk pengesahan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan