Mahkamah Rayuan Ketepikan Hukuman Penjara Dua Warga Asing

Diterbitkan: Selasa, 9 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa mengetepikan hukuman penjara dua tahun ke atas dua pelancong warga Turki dan Iran yang mencuri RM50 dari sebuah kedai haiwan.

Tiga anggota panel Mahkamah rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali membenarkan rayuan Ali Burak Coskundeniz dari Turki, dan Rouhollah Ghasem Khan Hassankiadeh dari Iran, bagi mengetepikan hukuman yang dikenakan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang atas alasan Mahkamah Tinggi tidak memberikan mereka hak untuk didengar.

Panel hakim juga mengembalikan semula keputusan mahkamah untuk mendenda kedua-dua lelaki masing-masing RM1,000 atau jika gagal penjara tiga bulan.

"Alasan pesuruhjaya kehakiman (menambah hukuman penjara) dalam keadaan emosi. Penghakimannya mencerminkan emosinya. Seorang hakim tidak boleh beremosi," kata Mohamed Apandi.

Beliau juga mengarahkan Ali Burak dan Rouhollah diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang secepat mungkin.

Panel hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Linton Albert dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, membenarkan rayuan mereka selepas Timbalan Pendakwa Raya V.Shoba tidak membantah rayuan warga sing itu.

Shoba berkata mahkamah tinggi tidak mematuhi Seksyen 325 (2) Kanun Prosedur Jenayah dan Seksyen 36 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

"Kami tidak membantah rayuan itu," katanya.

Sabitan mereka dilaporkan dalam akhbar dan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Amin Firdaus Abdullah atas kehendaknya mengadakan semula kes, dengan menyemak semula dan kemudiannya menambah hukuman mereka dengan mengenakan hukuman penjara dua tahun dan mengekalkan denda RM1,000.

Hakim (Mohd Amin), dalam menambah hukuman ke atas mereka, berkata beliau tidak percaya cerita Ali Burak bahawa dia tidak tahu bagaimana bentuk mata wang Malaysia memandangkan dia telah melawat Malaysia sebelum ini.

Katanya modus operandi sama seperti menghina kecerdikan 'seorang lelaki dan wanita rakyat Malaysia di jalanan' dan dia (Mohd Amin) menarik perhatian kehakiman bahawa tindakan jenayah sedemikian biasanya dilakukan segelintir 'pelancong' dari Timur Tengah terhadap peniaga kecil.

Peguam Karpal Singh, yang mewakili kedua-dua lelaki, memberitahu mahkamah rayuan bahawa pesuruhjaya kehakiman tidak membenarkan peguam bela mereka untuk berhujah sebelum menambah hukuman.

Karpal Singh berkata mahkamah tinggi tidak boleh menambah hukuman kecuali tertuduh diberi peluang untuk didengar secara peribadi atau melalui peguam belanya.

Katanya anak guamnya telah menjalani hukuman penjara tujuh bulan.

Pada 12 Sept tahun lepas, Mahkamah Majistret di Pulau Pinang mendenda Ali Burak, 31, Rouhollah Ghasem, 34, dan seorang juvana dari Iran RM1,000 jika gagal membayar denda dipenjara tiga bulan apabila mereka mengaku bersalah mencuri RM50 dari Lim Lee San, 42, yang menjalankan perniagaan 'Doggie and Me' di Sungai Bakap, Pulau Pinang, pada 25 Ogos tahun lepas.

Pada 19 September, 2012, Mahkamah Tinggi menambah hukuman ke atas Ali Burak dan Rouhollah Ghasem tetapi mengekalkan denda ke atas juvana berumur 14 tahun itu. Fakta kes menunjukkan Ali Burak membeli syampu anjing dari kedai itu dan cuba membayar menggunakan mata wang dolar Amerika tetapi ditolak Lim.

Ali Burak, yang mengaku jahil, meminta Lim menunjukkan contoh wang RNM50 yang kemudian dimasukkan dalam poketnya.

Dia kemudian meninggalkan tempat itu menaiki sebuah kereta yang sedang ditunggu Rouhollah dan juvana terbabit. -BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan