Tuduhan Menipu: Presiden, Setiausaha Pertubuhan Amal Mengaku Tidak Bersalah

Diterbitkan: Isnin, 8 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Seorang Presiden dan Setiausaha sebuah pertubuhan amal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, Isnin atas tiga tuduhan menipu tiga individu sehingga mendorong kesemua mangsa menyerahkan wang berjumlah RM23,500, antara Januari dan Mac lepas.

Lau Kok Chai, 65, dan Hamizan Maspar, 39, yang merupakan Presiden dan Setiausaha Agung Pertubuhan Amal Perpaduan Negeri Johor (Peraja) didakwa menipu seorang lelaki, P.Poobalan bagi menyerahkan wang RM10,000 dengan cara menawarkan keahlian kehormat VVIP Peraja bagi mendapatkan nombor kenderaan persendirian, jemputan menghadiri sebarang majlis di seluruh negara dan membantu mendapatkan pingat daripada pihak istana seluruh negara.

Kedua-dua mereka turut didakwa menipu dua lagi lelaki, Low Keng Theong bagi menyerahkan wang RM10,000 dan Ong Teow Keng bagi menyerahkan wang RM3,500 dengan cara tawaran yang sama dan menyatakan bahawa pertubuhan itu merupakan naungan Sultan Johor.

Ketiga-tiga perbuatan terbabit dilakukan antara Januari dan 22 Mac lepas dan dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Hamizan, yang beralamat di Taman Pertama, Muar dan Lau yang beralamat di Taman Mas Merah, Muar masing-masing turut mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama atas tuduhan menipu dan menyamar ke atas seorang anggota polis.

Kedua-duanya dituduh menipu ASP Mohd Norazizi Badri dengan menyamar sebagai Yang Mulia Engku dari kerabat diraja Johor dan Datuk daripada Sultan Johor yang menyebabkan Mohd Norazizi memanggil kedua-dua mereka dengan gelaran berkenaan.

Kesalahan terbabit dilakukan di Kompleks Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini antara 14 Mac dan 28 Mac lepas.

Kedua-dua mereka dituduh mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali memohon mahkamah menetapkan wang ikat jamin RM12,000 seorang bagi setiap pertuduhan. Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan dengan alasan mempunyai tanggungan lain, sudah tua dan sudah insaf atas perbuatan itu.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias kemudian menetapkan wang jaminan RM8,000 seorang bagi setiap pertuduhan dan 22 April depan untuk sebutan semula kes. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan