Mahkamah Rayuan Hidupkan Semua Kes Saman Fitnah ADUN Aulong

Diterbitkan: Jumaat, 5 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Khamis menghidupkan semula kes saman fitnah yang difailkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Yew Tian Hoe terhadap bekas penyelaras Parlimen Taiping, Soo Kay Ping.

Panel hakim tiga anggota dipengerusikan oleh Datuk Ramly Ali membenarkan rayuan Yew bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan samannya.

Panel tersebut, yang turut dianggotai Datuk Wira Mohtarudin Baki dan Datuk David Wong Dak Wah, juga memerintahkan supaya kes itu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi Taiping untuk perbicaraan.

Mahkamah turut memerintahkan Soo supaya membayar kos guaman sebanyak RM5,000 kepada Yew.

Yew menyaman Soo atas artikel bertajuk 'Alleging Yew Tian Hoe of imposing land survey costs illegally. Soo Kay Ping: There is witness and proof' yang disiarkan oleh akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily News, bertarikh 17 Januari 2011.

Yew mendakwa artikel itu telah memfitnahnya dengan maksud perkataan ditafsirkan bahawa beliau bukan seorang yang layak dan sesuai untuk menjadi wakil rakyat.

Beliau turut mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu telah menjejaskan kredibiliti dan reputasinya sebagai wakil rakyat.

Yew menuntut ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

Dalam penyataan pembelaannya, Soo, berkata kenyataan itu dibuat atas perlindungan bersyarat.

Pada 28 September tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Soo untuk membatalkan saman sivil yang difailkan oleh Yew terhadapnya.

Mahkamah Tinggi membatalkan saman itu selepas memutuskan pernyataan tuntutan Yew adalah cacat kerana beliau gagal berhujah perkataan sebenar dalam bahasa asal iaitu bahasa Mandarin seperti disiarkan dalam akhbar itu disusuli dengan terjemahan dalam bahasa Malaysia.

Yew diwakili oleh Chan Kok Keong manakala peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili Soo. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan