Dadah: Dua Beradik Wanita Warga Iran Ke Tali Gantung

Diterbitkan: Jumaat, 29 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Dua beradik wanita warga Iran dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine yang disimpan dalam bengkung dipakai mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Sejurus mahkamah membuat keputusan, Fatemah Zandiyeh Mohammad, 24, dan kakaknya Tahmineh Zandiyeh Mohammad, 26, tidak menunjukkan sebarang reaksi tetapi bapa mereka yang berada di galeri awam dilihat menangis dan hampir rebah.

Fatemah didakwa mengedar 1,489.8 gram methamphetamine di kawasan tuntutan bagasi, Aras 1, Balai Ketibaan KLIA pada 11.30 pagi, 5 Mei 2011.

Tahmineh pula didakwa mengedar 1,497.9 gram dadah jenis sama di tempat, masa dan tarikh sama.

Dua beradik itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Seramai lapan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zainal Azwar Kamaruddin sementara dua beradik itu diwakili peguam Datuk N.Sivananthan dan R.Vinothini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan