Kes Bunuh Ejen Hartanah Dipindah Ke Mahkamah Tinggi

Diterbitkan: Rabu, 27 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini pada Rabu memerintahkan kes bunuh seorang ejen hartanah di Ara Damansara, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam. Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid membuat keputusan itu selepas kes itu disebut di hadapannya.

Warga Pakistan, Ishtiaq Ahmad Khan, 26, bersama beberapa orang yang masih bebas didakwa membunuh Tang Yong Ching, 45, di Blok F, Pejabat Taipan 1, Jalan PJU 1A-3N, Ara Damansara di sini, antara 4 petang dan 11 malam pada 5 Julai tahun lepas.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Ahmad Solihin juga menetapkan 26 April ini untuk sebutan semula kes Ishtiaq yang menghadapi tiga pertuduhan menipu dua wanita dan seorang lelaki pada Julai tahun lalu bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Dia didakwa menipu wanita itu B.Punitha, 26, dan Zainab Mohamad, 26, serta seorang lelaki Rosnizam Mohd Ramli, 26, dengan menggunakan sekeping kad debit kepunyaannya sehingga mendorong mangsa menyerahkan antaranya dua komputer riba dan sayur-sayuran dalam tiga transaksi di dua pasar raya di Damansara di sini, antara 6 Julai dan 7 Julai 2012.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aifaa Che Abdullah. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan