Wanita Hadapi 2 Pertuduhan Menipu Babitkan Kerugian RM1 Juta Milik LLM

Diterbitkan: Khamis, 21 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Seorang bekas akauntan wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menipu dan 79 pertuduhan memalsukan tandatangan, membabitkan kerugian wang lebih RM1 juta milik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Shamsidar Zailan, 35, didakwa mengeluarkan sembilan surat arahan kepada Affin Bank cawangan Taman Maluri untuk memindahkan wang faedah pelaburan LLM sebanyak RM416,883.57 ke akaun CIMB Badan Kebajikan Sukan dan Sosial LLM.

Dia juga didakwa mengeluarkan dua surat arahan kepada Maybank cawangan KLCC untuk tujuan sama membabitkan amaun sebanyak RM150,353.83.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di pejabat LLM Sepang antara tahun 2009 dan 2010 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Shamsidar juga didakwa mengeluarkan 79 cek tunai daripada bank berbeza dengan jumlah berlainan, dengan meniru tandatangan setiausaha Badan Kebajikan Sukan dan Sosial LLM, di tempat dan tarikh sama.

Bagi kesalahan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 467 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Shamsidar, yang tidak diwakili peguam, dilihat menangis sewaktu pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Hakim Norhayati Mohd Yunus membenarkan Shamsidar diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 April untuk sebutan.

Norhayati turut memerintahkan pasport tertuduh diserah kepada mahkamah serta dia perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada minggu pertama setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamalia Yahdi. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan