Didakwa Lancar Perang Terhadap Agong, Lapan Rakyat Filipina Bakal Berhadapan Hukuman Mati

Diterbitkan: Rabu, 20 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lapan rakyat Filipina bakal berhadapan hukuman mati setelah didakwa terhadap pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Mereka yang berusia dalam lingkungan 17 hingga 66 tahun itu ialaha antara 108 individu dari selatan Filipina yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) ekoran insiden pencerobohan di Lahad Datu sejak 12 Februari lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong yang membawa hukuman mati dan Seksyen 130KA kanun sama iaitu menjadi ahli dalam kumpulan pengganas yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Pertuduhan asal yang dalam bahasa Melayu diterjemah ke dalam dua bahasa iaitu Bajau dan Suluk.

Tiada pengakuan direkod di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amelati Parnell, yang bersidang sebagai Majistret.

Mereka didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

Mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Tawau.

Bagaimanapun sehingga petang ini tiada tarikh ditetapkan untuk sebutan semula kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Datuk Nordin Hassan dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, kedua-duanya dari Pejabat Peguam Negara, Putrajaya.

IPD Lahad Datu, khususnya bangunan yang menempatkan lokap tahanan yang dihuni lapan tertuduh itu dikawal ketat oleh polis lengkap bersenjata dan memakai baju kalis peluru sejak awal pagi.

Kira-kira pukul 9.30 pagi, empat lori polis memasuki perkarangan IPD tanpa membawa tahanan dan pada ketika ini, para pengamal media, yang turut berlegar di luar bangunan itu, diarah ke bangunan pentadbiran yang bertentangan.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tiba di IPD itu kira-kira pukul 11.30 pagi dan dibawa masuk ke bangunan yang menempatkan pejabat pentadbiran.

Kira-kira pukul 1.30 petang, kelapan-lapan tertuduh yang memakai baju dan seluar lokap berwarna ungu, berkaki ayam dan kepala mereka ditutup dengan kain hitam, dilihat dibawa keluar dari IPD Lahad Datu dengan kawalan ketat pasukan keselamatan.

Insiden pencerobohan Lahad Datu sejak 12 Feb lepas, sehingga kini mengorbankan 10 anggota keselamatan terdiri daripada lapan anggota polis dan dua tentera.

Pada 5 Mac, pasukan keselamatan melancarkan gerakan ofensif memerangi kumpulan militan itu yang berkubu di Kampung Tanduo, dekat sini dan sehingga hari ini, operasi menggeledah dan pembersihan secara menyeluruh di kawasan Tanjung Batu masih diteruskan bagi memburu saki baki kumpulan militan itu.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata pasukan keselamatan memerlukan beberapa hari lagi untuk memastikan kawasan itu benar-benar selamat sebelum membenarkan penduduk kampung pulang ke rumah masing-masing.

"Kami akan menggeledah semua kawasan bagi memastikan tiada musuh berselindung sebelum penduduk boleh pulang ke rumah masing-masing," katanya dan memberitahu bahawa dalam operasi semalam, pasukan keselamatan menemui satu lagi mayat pengganas yang dipercayai ditembak pada 6 Mac.

Sehingga kini, 62 pengganas ditembak mati manakala 108 ditahan di bawah SOSMA kerana disyaki mempunyai kaitan dengan pengganas dan 256 individu lain ditahan kerana memasuki zon merah dan pelbagai kesalahan lain.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kesemua 28 mayat pengganas militan yang dibawa keluar dari zon merah akan dikebumikan dahulu sementara menunggu tuntutan mana-mana pihak. BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan