Kes Sosilawati: Peguam Kata Tarik Diri Selepas Terima Arahan K.Saravanan

Diterbitkan: Isnin, 18 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang peguam memberitahu perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini Isnin bahawa beliau menarik diri daripada mewakili K.Sarawanan dalam kes melupus bahan bukti pembunuhan itu atas arahan anak guamnya.

Saksi kesembilan pembelaan, A.S. Dhaliwal bagaimanapun tidak ingat sama ada beliau ada memaklumkan kepada Majistret Hurman Hussain yang mengendalikan prosiding kes di Mahkamah Telok Datok, Banting bahawa Sarawanan yang memberi arahan supaya beliau menarik diri daripada mewakilinya.

Ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Dhaliwal berkata, beliau sebenarnya tidak berjumpa dengan bapa Sarawanan, N. Kandasamy (saksi ke-15 pembelaan) pada hari Sarawanan dituduh di Mahkamah Majistret Telok Datok pada 15 Oktober 2010, sebaliknya menemui anggota keluarga Kandasamy yang lain.

"Berlaku sedikit kesilapan. Dia (Kandasamy tidak ada di sana...Jegalagan dan Rengga ada di sana," katanya.

Dalam keterangannya sebelum ini, Dhaliwal memberitahu Kandasamy berada di Mahkamah Majistret Telok Datok pada hari Sarawanan dituduh tetapi Kandasamy ketika memberi keterangan memberitahu bahawa beliau tidak hadir pada tarikh tersebut kerana berada di hospital.

Pada 15 Oktober 2010, Sarawanan, 22, dan pekerja ladang, U. Suresh, 29, mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan melupuskan bukti dalam pembunuhan itu di Mahkamah Majistret Telok Datok.

Sarawanan dan Suresh yang kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka sebelum ini dipanggil sebagai saksi pendakwaan dalam kes bunuh ini, namun dikatakan telah berpaling tadah.

Ketika ditanya Ishak bagaimana beliau boleh ingat bahawa Kandasamy tidak hadir ke mahkamah pada tarikh berkenaan, Dhaliwal berkata beliau mengetahuinya selepas memeriksa failnya tetapi ketika ditanya sama ada beliau membawa fail berkenaan, saksi itu menjawab beliau tidak membawanya ke mahkamah.

Jawapan Dhaliwal itu menyebabkan Hakim Datuk Akhtar Tahir menegurnya kerana kegagalan beliau membawa fail semasa perbicaraan.

"Anda perlu bawa fail kerana kamu adalah peguam. Anda sepatutnya bawa fail yang berkaitan (ke mahkamah)," kata Akhtar.

Saksi kesembilan pembelaan itu seterusnya tidak bersetuju dengan cadangan Ishak bahawa keterangannya di mahkamah hanya rekaannya semata-mata untuk menyebelahi pihak pembelaan.

Sementara itu, Pegawai Sains Jabatan Kimia N. Sivabalan berkata beliau tidak mengesan kehadiran sebarang hidrokarbon mudah terbakar dalam 35 eksibit yang beliau periksa iaitu antaranya kayu yang dibakar, kepingan logam dan sampel tanah.

"Daripada pemeriksaan itu, anda hanya menemui hidrokarbon mudah terbakar dalam satu sampel tanah," kata peguam Manjeet Singh Dhillon.

"Ia adalah sampel yang tidak disita," kata Manjeet Singh dan Sivabalan menjawab "Ya".

Menjawab soalan lain Manjeet Singh, saksi pembelaan ke-20 itu berkata, beliau pergi ke kawasan eksibit kira-kira 11 pagi 30 Ogos 2010, menyebabkan mereka yang terlibat dalam perbicaraan kes pembunuhan itu terkejut.

N. Pathmanabhan, 43, bekas peguam dan tiga pekerja ladang T. Thilaiyalagan, 21, R. Matan, 22, dan R. Kathavarayan, 33, diperintah membela diri atas pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan