Kes Sosilawati: Peguam Roslie Gagal Dikesan - Saksi

Diterbitkan: Jumaat, 15 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Persoalan timbul pada perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini apabila peguam yang mewakili seorang mekanik dalam kes melupus bukti pembunuhan itu tidak dapat dikesan sehingga kini.

Roslie Sulie, peguam yang mewakili K.Sarawanan sepatutnya dipanggil ke mahkamah sebagai saksi pembelaan tetapi sepina gagal diserah kepadanya berikutan kegagalan mengesan lokasi di mana beliau berada.

Seorang pekerja penghantaran firma guaman Hakem Arabi & Associates, S.Baskaran, 30, berkata pada 11 Oktober 2012 beliau ke pejabat Roslie di sebuah rumah di Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur untuk menyerahkan sepina namun gagal berbuat demikian.

"Saya lihat tiada sesiapa di rumah yang berkunci itu, jadi saya letakkan sampul sepina ke dalam peti surat," kata saksi ke-18 pembelaan pada pemeriksaan utama oleh peguam Gurbachan Singh, yang mewakili tertuduh kedua T.Thilaiyalagan.

Bekas peguam, N.Pathmanabhan, 43, dan tiga pekerja ladang Thilaiyalagan, 21, R.Matan, 22, dan R.Kathavarayan, 33, diperintah membela diri atas pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Ketika disoal peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan, Baskaran berkata beliau sekali lagi ke pejabat Roslie pada 3 Disember 2012 dan 5 Mac 2013 untuk menyerahkan sepina namun sekali lagi gagal kerana ia ditutup.

Roslie serta dua lagi peguam, M.Puravelan dan Mohd Naguib Abdul Malik, mewakili Sarawanan dan pekerja ladang U.Suresh yang berdepan empat pertuduhan melupuskan bukti dalam pembunuhan itu di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting pada 15 Oktober 2010.

Sarawanan, 22, dan Suresh, 29, yang kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka, sebelum ini dipanggil sebagai saksi pendakwaan dalam kes bunuh ini, namun dikatakan telah berpaling tadah.

Kepada soalan oleh Gurbachan Singh, Baskaran berkata semalam beliau turut pergi ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi menyerahkan sepina kepada ACP Abdul Aziz Zakaria tetapi pegawai polis itu enggan menerimanya.

"Apa dia (Abdul Aziz) beritahu kamu?" soal Gurbachan Singh.

"Dia kata dia tidak boleh terima sepina kerana dia nak notis dari peguam untuk datang ke perbicaraan ini. Dia cakap "saya tidak boleh tandatangan, pergi mampus pada peguam... kalau nak keluar waran tangkap, keluarlah." Saya kemudian serahkan sepina kepada setiausahanya," jawab Baskaran.

Menurut sepina itu, Abdul Aziz sepatutnya hadir ke mahkamah pada Jumaat.

Manjeet Singh kemudian mengemukakan permohonan supaya mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Abdul Aziz kerana keengganan pegawai polis itu menerima sepina dan hadir ke mahkamah.

Semalam, pekerja ladang kelapa sawit, N.Kandasamy dalam keterangannya berkata pada pertemuan di IPK Kuala Lumpur, Roslie memberi jaminan bahawa Sarawanan akan bebas jika diwakili peguam itu, menyebabkan saksi berkenaan menandatangani dokumen pelantikan sedangkan sebelum itu, dia melantik A.S Dhaliwal untuk mewakili anaknya.

Hakim Datuk Akhtar Tahir bersetuju dengan Manjeet bahawa pihak media menyiarkan notis supaya Roslie hadir ke mahkamah pada minggu depan, dan beliau turut mengarahkan pendakwaan menghubungi Abdul Aziz supaya hadir pada 11 pagi ini.

Bagaimanapun, apabila prosiding disambung semula, pendakwaan dan pembelaan dilihat memasuki kamar hakim sebelum keluar semula beberapa minit kemudian.

Pihak media kemudian dimaklumkan bahawa Abdul Aziz kini menerima rawatan di Institut Jantung Negara.

Terdahulu, saksi ke-17 pembelaan, Penolong Pengarah di Jabatan Keahlian Majlis Peguam C.Gayathiri mengesahkan bahawa Roslie dan Mohd Naguib sudah tidak lagi menjalankan khidmat guaman.

Perbicaraan bersambung Isnin ini. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan