Palsu Bon: Rayuan Ditolak, Dua Bekas Pegawai Kanan PUNB Dipenjara

Diterbitkan: Khamis, 14 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Dua bekas pegawai kanan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), bekas Ketua Pegawai Eksekutif PUNB Ahmadi @ Ahmad Zukni Johari, 71, dan bekas setiausaha Mohamad Aminuddin Mohamed Zain, 55, terpaksa meringkuk dalam penjara selepas gagal dalam rayuan terakhir mereka untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara lima tahun kerana memalsukan sijil bon bernilai US$5 bilion (kira-kira RM18 bilion) pada tahun 2000. -Foto BERNAMA
Dua bekas pegawai kanan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), bekas Ketua Pegawai Eksekutif PUNB Ahmadi @ Ahmad Zukni Johari, 71, dan bekas setiausaha Mohamad Aminuddin Mohamed Zain, 55, terpaksa meringkuk dalam penjara selepas gagal dalam rayuan terakhir mereka untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara lima tahun kerana memalsukan sijil bon bernilai US$5 bilion (kira-kira RM18 bilion) pada tahun 2000. -Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Dua bekas pegawai kanan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) terpaksa meringkuk dalam penjara selepas gagal dalam rayuan terakhir mereka untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara lima tahun kerana memalsukan sijil bon bernilai US$5 bilion (kira-kira RM18 bilion) pada tahun 2000.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif PUNB Ahmadi @ Ahmad Zukni Johari, 71, dan bekas setiausaha Mohamad Aminuddin Mohamed Zain, 55, serta hukuman penjara terhadap mereka iaitu masing-masing empat dan lima tahun.

Dalam penghakiman sebulat suara yang dibacakan Hakim Datuk Azahar Mohamed, mahkamah mendapati selepas menimbang bukti dan hujah pendakwaan dan pembelaan, perbuatan tertuduh mengeluarkan bon adalah untuk keuntungan sendiri.

Turut menganggotai panel itu ialah Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Panel itu turut menolak permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara terhadap mereka sehingga Isnin bagi membolehkan mereka menyelesaikan hal keluarga.

Sebelum ini, Ahmadi dan Mohamad Aminuddin dibebaskan atas ikat jamin RM300,000 setiap seorang sementara menunggu rayuan.

Mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan memalsukan sijil bon itu di Wisma UOA II, No 21, Jalan Pinang pada 13 Oktober 2000.

Pada 27 Januari 2010, Hakim Mahkamah Sesyen S.M.Komathy Suppiah melepas serta membebaskan mereka daripada pertuduhan setelah menerima keterangan bahawa tertuduh tidak berniat jahat ketika mengeluarkan bon itu, yang didakwa dilakukan untuk menjana dana bagi manfaat PUNB.

Pada 5 Disember 2011, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan rayuan pendakwaan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas serta membebaskan mereka daripada pertuduhan.

Hakim Datuk Su Geok Yiam mendapati mereka bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Ahmadi dan empat tahun ke atas Mohamad Aminuddin.

Dalam penghakimannya, Azahar berkata meskipun tindakan Ahmadi dan Mohamad Aminuddin tidak mendatangkan keuntungan tidak sah kepada mereka atau kerugian terhadap syarikat, perbuatan tertuduh masih dianggap sebagai satu penipuan.

Beliau memberi 11 faktor yang menyumbang kepada keputusan mahkamah termasuk tindakan tertuduh untuk tidak mendapatkan kelulusan lembaga pengarah, arahan mereka agar bukti berkaitan pengeluaran bon itu dilupuskan dan menyembunyikan perjalanan berbentuk perniagaan daripada pengetahuan lembaga pengarah.

Katanya, Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul untuk mensabit dan menjatuhkan hukuman penjara ke atas mereka.

Terdahulu, peguam Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Ahmadi ketika meminta hukuman diringankan, berkata berdasarkan usia pelanggannya, sebarang hukuman penjara akan mempunyai impak seperti hukuman penjara seumur hidup.

"Perbicaraan ini menghantui hidup tertuduh selama 12 tahun dan dia telah kehilangan pekerjaan dan isterinya juga telah meninggalkan dia dengan membawa bersama kebanyakan aset mereka. Dia telah dihukum sebanyak dua kali, hilang keluarga dan sumber kewangan, serta tidak memiliki apa-apa untuk menghiburkan hatinya dalam tahun-tahun terakhir ini," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Razak Musa pula berkata hukuman penjara yang dijatuhi Mahkamah Tinggi memadai memandangkan kesalahan itu serius dan nilai bon terbabit adalah luar biasa. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan