Kes Bunuh Sosilawati: Pekerja Ladang Dakwa Tertipu Dengan Peguam Sarawanan

Diterbitkan: Khamis, 14 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang pekerja ladang kelapa sawit memberitahu perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia berasa tertipu dengan tindakan peguam yang mewakili anak lelakinya dalam kes melupus bukti dalam pembunuhan itu.

N.Kandasamy, 52, berkata peguam bernama Roslie memberi jaminan Sarawanan, 22, akan bebas jika diwakili peguam itu, menyebabkan dia menandatangani dokumen pelantikan sedangkan sebelum itu, dia melantik A.S Dhaliwal untuk mewakili anaknya.

Saksi ke-15 pembelaan itu mendakwa anaknya bagaimanapun dipaksa oleh Roslie untuk mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting pada 15 Oktober 2010 menyebabkan dia kini terpaksa menjalani hukuman penjara 20 tahun.

"Saya berasa sedih apabila Sarawanan disuruh mengaku bersalah, dan rasa seolah-olah anak saya diugut. Selepas peristiwa ini, saya telah membuat aduan kepada Lembaga Tatatertib Majlis Peguam dan laporan polis terhadap Roslie," katanya ketika disoal peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili N.Pathmanabhan.

Pathmanabhan, 43, bekas peguam dan tiga pekerja ladang T.Thilaiyalagan, 21, R.Matan, 22, dan R.Kathavarayan, 33, diperintah membela diri atas pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pada 15 Oktober 2010, Majistret Hurman Hussain menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun ke atas Sarawanan, seorang mekanik, dan pekerja ladang U.Suresh, 29, selepas mereka mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan melupuskan bukti dalam pembunuhan itu, dan keempat-empat hukuman penjara diarah berjalan serentak.

Pada prosiding itu, Sarawanan dan Suresh diwakili peguam M. Puravelan, Mohd Naguib Abdul Malik dan Roslie Sulie.

Bagaimanapun, pada 21 Februari tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohtaruddin Baki (kini Hakim Mahkamah Rayuan), ketika menyemak keputusan mahkamah rendah mengikut Kanun Tatacara Jenayah, mengurangkan hukuman penjara kepada lima tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan ia berjalan secara berasingan.

Sarawanan dan Suresh kini menjalani hukuman di Penjara Sungai Udang, Melaka selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan mereka pada 24 Ogos tahun lepas untuk kebenaran merayu di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu. Mereka sebelum ini dipanggil sebagai saksi pendakwaan dalam kes ini namun dikatakan telah berpaling tadah.

Terdahulu, Kandasamy berkata sebelum prosiding di Mahkamah Majistret Telok Datuk itu, beliau diminta bertemu seorang pegawai polis bernama Azlan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur yang kemudian memintanya agar tidak melantik Dhaliwal sebagai peguam Sarawanan, sebaliknya mencadangkan Roslie.

"Roslie cakap jika lantik dia sebagai peguam, dia akan pastikan Sarawanan bebas. Saya kemudian tandatangan dokumen pelantikannya dan selepas tandatangan dokumen itu, saya diberi peluang berjumpa Sarawanan.

"Pada 14 Oktober 2010, Sarawanan ada hubungi saya memberitahu bahawa dia disuruh mengaku bersalah, dan saya beritahu dia jangan mengaku bersalah serta beritahu saya telah uruskan dengan Dhaliwal, dan dia (Dhaliwal) akan ke mahkamah untuk membantunya," katanya.

Kandasamy berkata selepas berbincang dengan Dhaliwal, dia menghubungi Roslie meminta beliau tidak hadir ke mahkamah pada 15 Okt 2010 namun peguam itu berkata akan hadir juga memandangkan saksi telah menandatangani dokumen pelantikannya sebagai peguam Sarawanan. Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Matan, bahawa tindakan Roslie adalah salah dan tidak beretika.

Amer Hamzah: "Selepas 15 Oktober 2010, ada Roslie datang ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mewakili Sarawanan dalam kes rayuannya?"

Kandasamy: "Tidak".

Amer Hamzah: "Selepas 15 Oktober 2010, ada Roslie hubungi kamu?"

Kandasamy: "Tidak. Saya tidak dapat hubungi dia, telefon pun tidak berjawab."

Sementara itu, saksi pembelaan berkenaan tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff bahawa keterangannya di mahkamah berhubung Sarawanan dipaksa mengaku bersalah adalah rekaan semata-mata.

Perbicaraan di depan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Kolumnis

iklan

Iklan