Bekas Pengarah Syarikat Didenda RM50,000 Kerana Menipu

Diterbitkan: Khamis, 7 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah syarikat penternakan dan pembuatan pada Rabu didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan menipu dan dua pertuduhan mengikut Akta Syarikat 1965.

Hakim, Dazuki Ali menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Hashmizar Hakimi, 50, dan memerintahkannya membayar pampasan RM500,000 kepada syarikat Sturgeon & Caviar Inc (M) Sdn Bhd iaitu RM100,000 dibayar tunai hari ini dan baki sebanyak RM400,000 dibayar dua kali secara ansuran dalam tempoh enam bulan.

Bagi pertuduhan pindaan pertama dan pertuduhan kedua, Hashmizar didenda RM20,000 bagi setiap pertuduhan manakala denda sebanyak RM10,000 bagi pertuduhan ketiga.

Mahkamah pada Rabu sepatutnya mendengar perbicaraan kes itu.

Bagaimanapun peguam Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili tertuduh membuat permohonan rundingan bagi pengakuan bersalah kepada mahkamah berhubung hukuman bagi kesemua pertuduhan yang dihadapi anak guamnya.

Kesemua pihak yang terlibat dalam kes itu kemudiannya masuk ke kamar hakim.

Kamarul Hisham memberitahu media bahawa selepas persetujuan dicapai di antara pihak pendakwaan, mahkamah dan tertuduh berhubung terma-terma hukuman, mahkamah menjatuhkan hukuman itu terhadap anak guamnya.

Bagi pertuduhan pindaan pertama Hashmizar, yang sebelum ini bekerja di syarikat Sturgeon didakwa menipu anggota pengarah syarikat itu dengan menyembunyikan penglibatannya sebagai pengarah dan pemegang saham di Akuatik Niaga Sdn Bhd sehingga mendorong Sturgeon membuat pembayaran sejumlah RM785,000 kepada Akuatik Niaga.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat Sturgeon di Jalan Setiabakti 2, Plaza Damansara, Bukit Damansara di sini antara 15 Ogos 2008 dan 17 September 2008, mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua Hashmizar didakwa gagal memaklumkan kepada Lembaga Pengarah Sturgeon tentang "Consultancy Agreement" bertarikh 28 Ogos 2007 yang ditandatangani antara syarikat itu dan Akuatik Niaga.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat yang sama pada 14 Jun 2010 mengikut Seksyen 131(1) Akta Syarikat 1965 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM150,000 atau kedua-duanya.

Untuk pertuduhan ketiga Hashmizar didakwa gagal memaklumkan secara bertulis kepada Lembaga Pengarah Sturgeon mengenai pegangan sahamnya dalam syarikat Akuatik Niaga di tempat sama pada 14 Jun 2010 mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Syarikat 1965 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM15,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tan Gin Han. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan