Koordinator Media Didakwa Tipu Pengurus Syarikat

Diterbitkan: Selasa, 5 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang koordinator media di Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menipu seorang pengurus am sebuah syarikat berhubung permohonan pasport 152 pekerja Indonesia tahun lepas.

Zulkaifin Tengku Mansyur, 37, didakwa menipu Mahmud Husin, 61, juga warga Indonesia, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa dia boleh menguruskan permohonan pasport 152 pekerja Indonesia sehingga majikan Mahmud iaitu Solihin Hassan Basri, 58, menyerahkan cek berjumlah RM15,000 kepada tertuduh.

Zulkaifin yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan perbuatan itu di syarikat tersebut iaitu S.S Setiakawan Sdn Bhd, Taman Pusat Kepong, Kepong dekat sini pada 5 petang, 6 Feb tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Ahmad Poad tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh atas alasan tertuduh merupakan warga asing.

Hakim Dazuki Ali tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 4 April ini untuk sebutan kes.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan