Mahkamah Rayuan Ketepi Pembebasan, Penjarakan Penoreh Getah Kerana Merogol

Diterbitkan: Jumaat, 1 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Seorang penoreh getah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Rayuan di sini Jumaat kerana merogol seorang gadis bawah umur di sebuah hotel di sini lima tahun lepas.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Seri Abu Samah Nordin membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk membebaskan Mohamad Malek Ridhzuan Che Hassan, 25, di akhir kes pembelaan.

Panel itu mensabitkan Mohamad Malek terhadap dua pertuduhan merogol gadis itu yang ketika kejadian berumur 12 tahun sembilan bulan di sebuah hotel di Jalan Pudu, pada 1 pagi dan 3 pagi pada 23 April 2008. Dia diperintah menjalani hukuman penjara itu secara serentak dari Jumaat.

Bagaimanapun, penoreh getah dari Kuala Lipis, Pahang itu dikecualikan daripada sebatan kerana hukuman itu bergantung kepada budi bicara dan Timbalan Pendakwa Raya Kwan Li Sa tidak mendesak bagi hukuman itu.

Dalam mengenepikan pembebasan Mohamad Malek, Hakim Abu Samah berkata hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf semasa memutuskan Mohamad Malek telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah Sesyen membebaskan Mohamad Malek daripada pertuduhan itu pada 9 November, 2010 dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 23 Februari tahun lepas.

Hakim Abu Samah yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azahar Mohamed dan Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh, berkata terdapat kes di mana mahkamah mendapati sukar untuk membuat keputusan.

Terdahulu, peguam Amrit Pal Singh yang mewakili Mohamad Malek, semasa mengemukakan rayuan bagi anak guamnya, merayu mahkamah memberikan hukuman ringan dan menggesa anak guamnya dilepaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik.

Beliau memberikan contoh keadaan anak guamnya itu dengan kes pemain boling kebangsaan yang diberikan bon jaminan berkelakuan baik selama lima tahun dengan jaminan RM25,000 oleh Mahkamah Rayuan pada tahun lepas.

Tertuduh yang ketika kejadian berumur 19 tahun, telah merogol remaja perempuan 13 tahun itu dalam sebuah bilik hotel pada 2010 tetapi mengaku salah semasa dihadapkan ke mahkamah.

Amrit Pal berkata ini juga merupakan kes "suka sama suka" kerana mereka merupakan pasangan kekasih dan tidak wujud paksaan terhadap gadis itu.

"Ia merupakan kesilapan di pihak tertuduh kerana masih muda," katanya dan menurutnya anak guamnya telah memohon maaf daripada mangsa dan meminta mahkamah menaruh belas kasihan terhadapnya dan memberi peluang kepadanya untuk menjalani kehidupan baru.

Timbalan Pendakwa Raya Kwan meminta mahkamah mengenakan hukuman penjara antara 12 dan 15 tahun kerana ia merupakan kes serius dengan mengambil kira umur remaja perempuan itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan