Pecah Amanah: Kerani Firma Guaman Dipenjara Lima Tahun, Denda RM50,000

Diterbitkan: Khamis, 28 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kerani sebuah firma guaman pada Khamis dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM50,000 atau 50 bulan penjara jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Sesyen setelah didapati bersalah terhadap 10 pertuduhan melakukan pecah amanah terhadap majikannya.

Hakim Suraiya Mustafa Kamal menjatuhkan hukuman tersebut ke atas K. Umapathy selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Hakim Suraiya menetapkan hukuman penjara selama lima tahun bagi kesemua pertuduhan dan denda RM5,000 atau lima bulan penjara jika gagal membayar denda itu bagi setiap pertuduhan, bermula hari ini.

Umapathy, 42, melakukan kesalahan tersebut dengan membayar 10 keping cek kepada ahli keluarganya berjumlah RM71,000 untuk tujuan yang tidak sah tanpa kebenaran majikannya iaitu Firma Guaman Junaicah Mogana dan Partners.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di No 17-2 Jalan PJS 11/2, Subang Indah, di antara September 2004 hingga Ogos 2006 dan didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat atau denda.

Seramai 20 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Mahkamah tidak membenarkan permohonan peguam Mohd Zaidi Othman, yang mewakili tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara membuat rayuan di Mahkamah Tinggi. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ching Kian Chun. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan