Peniaga Mengaku Tidak Bersalah Aibkan Jiran

Diterbitkan: Selasa, 26 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengaibkan jirannya sehingga membangkitkan kemarahan mangsa tahun lepas.

Bagaimanapun, Roger Anthony Ooi Kah Chuen, 47, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di depan Majistret K B Elena Hong Tze Lan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap seorang pesara N.Tharma Nathan, 60, di rumah mangsa di Jalan SS 22A/1, Damansara Jaya, pada 10 pagi 12 September tahun lepas mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat menawarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Parvinder Kaur memohon jumlah itu dikurangkan kerana Ooi mempunyai tanggungan keluarga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Mac untuk sebutan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan