Perbicaraan Kes Bunuh Dirang Bermula Hari Ini

Diterbitkan: Isnin, 25 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Perbicaraan kes seorang buruh yang didakwa membunuh Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, yang rangkanya ditemui di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai pada Mac tahun lepas, bermula di Mahkamah Tinggi di sini, Isnin.

Pada prosiding, Ketua Unit Pendakwaan Johor Umar Saifuddin Jaafar dalam ucapan pembukaannya berkata pendakwaan akan memanggil beberapa saksi termasuk ibu dan nenek Dirang serta Doktor Mohamad Aznool Haidy Ahsorori, yang melakukan bedah siasat ke atas mangsa.

"Keterangan saksi pakar ini akan membuktikan bahawa melalui penemuan fungal dan telur lalat pada mayat si mati membuktikan si mati telah mati pada 2 Mac 2012, atau lebih awal dari tarikh itu.

"Seterusnya, di akhir perbicaraan nanti, kesemua keterangan yang akan dikemukakan itu bakal membentuk suatu keterangan yang melampaui keraguan munasabah bahawa tertuduh terlibat dan menyebabkan kematian Nurul Nadirah," katanya.

Di kandang tertuduh ialah Muidin Maidin, 26, yang didakwa membunuh mangsa di Ladang Kelapa Sawit, Jalan Suria 47, Bandar Seri Alam di sini antara 11.30 pagi pada 1 Mac 2012 dan 12 malam, 2 Mac 2012 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Nurul Nadirah dilaporkan hilang pada 1 Mac tahun lepas ketika keluar membeli mi segera dan telur di kedai runcit berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam sebelum disahkan meninggal dunia akibat dibunuh dan dibakar pada 12 Mac tahun lepas.

Kematiannya disahkan melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap rangka manusia yang ditemui di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai pada 8 Mac tahun lepas.

Hari ini, mahkamah mendengar keterangan ibu mangsa Roselyn Alan, Milnah Jul serta tiga jurugambar Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam iaitu Lans Koperal Mohamad Fouzi Zakaria, Koperal Rosman Abdullah dan Koperal Northa Basiman.

Perbicaraan di depan Hakim Datuk Abdul Halim Aman bersambung esok.

Umar Saifuddin dibantu Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar manakala Muidin diwakili peguam Mohd Daud Ismail dan Mohamad Abd Kadir. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan