Amuk Di Putrajaya: Anggota Polis Terima Panggilan Pasangan Mengamuk Guna Parang Panjang

Diterbitkan: Isnin, 25 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Seorang anggota polis memberitahu Mahkamah Sesyen di sini beliau menerima panggilan kecemasan bahawa seorang lelaki dan seorang perempuan sedang mengamuk menggunakan parang panjang di depan pintu masuk Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri pada 9 Julai tahun lepas.

Koperal Ruzain Husain, 53, berkata beliau menerima maklumat itu daripada seorang perempuan yang tidak dikenali pada 2.30 petang ketika bertugas sebagai penyelia pusat kawalan di Ibu Pejabat Daerah Putrajaya.

Beliau berkata perempuan itu menyampaikan maklumat berkenaan dalam keadaan cemas dan tergesa-gesa.

Sebaik menerima maklumat itu, Ruzain berkata beliau bertindak mengarahkan anggota peronda (Taskforce 1) ke tempat kejadian dan dimaklumkan mereka tiba di lokasi dua hingga tiga minit kemudian serta mengesahkan kejadian tersebut.

"Lepas itu, Taskforce 1 melaporkan mereka telah diserang dan suspek pecah cermin kereta yang dipandu mereka di sebelah kanan pemandu," katanya pada perbicaraan Muhdalena Ahmad, yang berdepan empat pertuduhan, termasuk ugutan jenayah dan membawa pedang.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh, Ruzain berkata selepas itu, Taskforce 1 melaporkan suspek lelaki terkena dua das tembakan dan suspek wanita satu das di peha kanan.

Saksi ketiga pendakwaan itu juga berkata maklumat berkenaan disampaikan kepadanya melalui 'walkie-talkie'.

Beliau berkata Taskforce 1 kemudian meminta bantuan dan seramai empat anggota polis trafik ditugaskan membantu mereka.

Ruzain berkata selepas itu, Taskforce 1 meminta bantuan ambulans dan beliau dimaklumkan yang pertama membawa suspek lelaki ke Hospital Putrajaya manakala ambulans kedua membawa suspek wanita ke wad kecemasan di hospital sama.

Katanya, beliau kemudian menerima maklumat bahawa suspek lelaki meninggal dunia sementara suspek wanita dimasukkan ke wad 3B hospital itu.

Muhdalena, 28, dari Kota Damansara, berdepan empat pertuduhan mengikut Kanun Keseksaan, Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

Dia didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap anggota polis bantuan Lans Korporal Ridzuan Megat Ahmad dalam kawasan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri pada 9 Julai, 2012 mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Muhdalena juga dituduh memiliki senjata (pedang) di tempat dan pada masa yang sama mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan mengikut Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan, dia didakwa tidak mematuhi arahan Ridzuan agar meletakkan pedang serta gagal mematuhi arahan menteri, iaitu perlu mendapatkan pas atau permit sebelum memasuki premis itu.

Terdahulu, mahkamah mendengar keterangan kerani penjaga stor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya Khairul Affendi Mat Zabidi, 33, dan jurugambar cawangan foto IPD sama Korperal Nurarjuna Juna Abdullah. Perbicaraan di depan Hakim Mohamad Kamil Nizam bersambung esok. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan