Rasuah: Empat Pegawai Imigresen Dipenjara Enam Tahun, Denda RM239,700

Diterbitkan: Sabtu, 23 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Empat pegawai Imigresen dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda berjumlah RM239,700 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah memperoleh rasuah sebagai upah bagi memudahkan kemasukan penumpang warga Indonesia ke Malaysia tanpa perlu mematuhi syarat, tiga tahun lepas.

Hakim Mat Ghani Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Azmir Mahadi, 30, Ahmad Zahed Abd Alim, 30, Mohd Hafiz Zakaria, 29, dan Mohd Khairul Haqimie Kamarudin, 28, yang ketika kejadian bertugas di bahagian Perkapalan Pelabuhan Selatan, Pelabuhan Klang dekat sini.

Mat Ghani bagaimanapun membenarkan permohonan kesemua tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga proses rayuan di Mahkamah Tinggi selesai tetapi menaikkan jumlah jaminan kepada RM10,000 bagi setiap tertuduh.

Azmir dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM50,000 selepas didapati bersalah terhadap lima pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM3,810 daripada Azizul Hakim Salehuddin yang dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank Bhd milik Azizul Hakim di Affin Bank Bhd cawangan Pelabuhan Klang dekat sini, antara 15 Ogos 2010 hingga 22 Ogos 2010.

Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjarakan lima tahun lagi. Azmir bagaimanapun dilepas dan dibebaskan daripada satu lagi pertuduhan cuba memperoleh suapan RM920 daripada Azizul Hakim di tempat sama pada 28 Ogos 2010.

Ahmad Zahed pula dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM120,000 selepas didapati bersalah terhadap 12 pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM13,590 daripada Azizul Hakim di Maybank cawangan Bukit Tinggi, Klang dekat sini antara 26 Julai 2010 dan 28 Ogos 2010.

Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjarakan 12 tahun lagi.

Mohd Hafiz menghadapi empat pertuduhan memperoleh wang tunai berjumlah RM8,690 daripada tiga lelaki iaitu Hafeezul Hafiz Zainal Abidin, Mohd Firdaus Abdul Razak dan Ahmad Hafiz Junaidi di tiga lokasi berasingan di CIMB Bank cawangan Pelabuhan Klang, Kuarters Imigresen Pandamaran, Klang dan Eon Bank cawangan Pelabuhan Klang antara 25 Sept 2010 dan 30 September 2010.

Bagi keempat-empat kesalahan itu, hakim Mat Ghani menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM55,700 kepada tertuduh dan sekiranya Mohd Hafiz gagal membayar denda, dia boleh dipenjara 61 bulan lagi.

Mohd Khairul Haqimie pula dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM14,000 kerana memperoleh suapan wang tunai RM2,650 daripada Azizul Hakim di Maybank cawangan Bukit Tinggi, Klang, pada 28 Ogos 2010.

Tertuduh boleh dipenjarakan 15 bulan lagi sekiranya dia gagal membayar denda.

Mohd Khairul Haqimie bagaimanapun dilepas dan dibebaskan daripada dua lagi pertuduhan memperoleh suapan wang tunai RM700 dan RM4,000 daripada Azizul Hakim di hadapan Restoran Moden, Simpang Kudrat, Klang pada 28 September 2010.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Seramai 37 saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Nor Aza Kasram yang menyebut bagi pihak Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Sinti sementara Azmir diwakili peguam Wan Shahrizal Wan Ladin, Ahmad Zahed diwakili peguam K.K.Lim, Mohd Hafiz diwakili peguam Abdul Halem Mohamad Husin dan Mohd Khairul Haqimie diwakili peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Pada 7 April 2011, lapan pegawai Imigresen termasuk keempat-empat tertuduh yang bertugas di bahagian Perkapalan Pelabuhan Selatan, Pelabuhan Klang dekat sini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen berasingan di sini atas pertuduhan memperoleh rasuah sebagai upah bagi memudahkan kemasukan penumpang warga Indonesia ke Malaysia tanpa perlu mematuhi syarat, tiga tahun lepas. Selain empat pegawai terbabit, turut dituduh ialah Md Shahrizal Che Dan, 28, Nor Shahazlina Sulaiman, 27, Mohamad Izuwanshah Samsuri, 27, dan Mohamad Huzzail Ahmad, 33.

Pada 25 Sept tahun lepas, Md Shahrizal, Nor Shahazlina, Mohamad Izuwanshah dan Mohamad Huzzail dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda berjumlah RM361,400 oleh Hakim Asmadi Hussin selepas didapati bersalah terhadap tuduhan masing-masing.

Media sebelum ini melaporkan terdapat anggota dan pegawai Imigresen di Jeti Penumpang Pulau Ketam, Pelabuhan Klang menerima sogokan sehingga RM60,000 sebulan, menyebabkan pintu masuk negara mudah dibolosi pendatang tanpa izin dari Indonesia. -BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan