Bekas Tahanan ISA Mengaku Tidak Bersalah Pertuduhan Menggalakkan Keganasan

Diterbitkan: Khamis, 21 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Yazid Sufaat
Yazid Sufaat

KUALA LUMPUR: Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Yazid Sufaat dan kenalannya, Halimah Hussein mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu terhadap pertuduhan menggalakkan keganasan bagi mengugut orang awam di Syria, tahun lepas.

Yazid, 49, menganggukkan kepala tanda dia faham pertuduhan yang dihadapinya dan meminta kepada mahkamah agar dibicarakan terhadap pertuduhan itu.

Halimah, 52, turut meminta dibicarakan terhadap pertuduhan bersubahat dengan Yazid dalam melakukan kesalahan itu.

Pada 8 Februari lalu, Yazid yang merupakan pengusaha kantin di Kompleks Mahkamah, Jalan Duta di sini didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Bukit Ampang, Ampang antara 8.30 pagi dan 10.30 pagi, pada 1 Ogos hingga 20 Oktober 2012. Halimah, seorang suri rumah didakwa bersubahat dengan Yazid bagi melakukan kesalahan sama di tempat dan pada waktu yang sama.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mereka merupakan individu pertama yang didakwa mengikut Kanun Keseksaan atas kesalahan membabitkan diri dalam aktiviti keganasan selepas ISA dimansuhkan pada 31 Julai 2012 selepas Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) bagi menggantikan ISA dikuatkuasakan.

Sementara itu, Hakim Kamardin Hashim menetapkan tarikh perbicaraan kes berkenaan selama empat hari bermula 20 Mei dan membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria agar kedua-dua tertuduh dibicarakan bersama.

Peguam yang mewakili Yazid, Amer Hamzah Arshad memberitahu mahkamah beliau dan rakannya Edmund Bon yang mewakili Halimah akan memfailkan satu permohonan dalam tempoh yang singkat untuk menggugurkan pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh.

Halimah turut diwakili bekas Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

Di mahkamah yang sama, Hakim Kamardin menetapkan 25 Februari untuk mendengar permohonan habeas corpus pembantu kantin yang ditahan bersama Yazid.

Pada 18 Februari, Muhammad Hilmi, 33, memfailkan permohonan tersebut menerusi ibu angkatnya Rahamah Abdul Majid, 58, agar dia dibebaskan daripada tahanan polis.

Pemohon menamakan Warden Pusat Tahanan Reman di Jinjang dan Ketua Polis Negara sebagai responden.

Menerusi afidavit sokongan, Muhammad Hilmi mendakwa dia ditahan secara salah dan haknya di bawah Fasal 5(3) Perlembagaan Persekutuan telah dicabuli.

Muhammad Hilmi juga mendakwa dia ditahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) tetapi tidak dituduh di mahkamah sepertimana dua lagi tahanan iaitu Yazid dan Halimah. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan