Auku: Mahkamah Dengar Rayuan Bekas Pelajar USM 15 April

Diterbitkan: Rabu, 20 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 15 April untuk mendengar rayuan seorang bekas pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak semakan kehakimannya bagi mencabar keperlembagaan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Clement Allan Skinner, Datuk Lim Yee Lan dan Datuk Rohana Yusuf menetapkan tarikh baru itu selepas menangguhkan pendengaran rayuan yang dijadualkan hari ini berikutan kekangan masa kerana mahkamah perlu mendengar kes lain.

Pada 4 Jun 2010, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Soh Sook Hwa selepas memutuskan pelajar itu tidak mempunyai alasan kukuh untuk mencabar Seksyen 15 AUKU kerana ia sudah dipinda serta dimansuhkan.

Bekas pelajar komunikasi, Soh memfail permohonan itu pada 16 Ogos 2005 selepas dihukum USM kerana didakwa terbabit dalam kempen pada Pilihan Raya Umum 2004 dan beliau menamakan Menteri Pengajian Tinggi sebagai responden.

Soh memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan menteri yang menolak rayuannya untuk mengetepikan arahan lembaga disiplin USM untuk menegur serta mendenda beliau RM200 kerana melanggar AUKU dengan berkempen untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2004.

Seksyen 15 melarang mahasiswa terlibat dalam parti atau pertubuhan politik.

Soh, 31, diwakili peguam M. Lavendran dan Ang Hean Leng manakala menteri berkenaan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Noor Hisham Ismail. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan