MPS Tiada Kuasa Buka Tiang Kamera AES

Diterbitkan: Khamis, 14 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini Khamis diberitahu Majlis Perbandaran Sepang (MPS) tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuka tiang serta kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).

Peguam Alex De Silva, yang mewakili pengendali AES Beta Tegap Sdn Bhd, berkata MPS juga tidak boleh mengeluarkan apa-apa arahan atau perintah berkaitan kedua-dua lebuh raya.

Beliau berkata ini kerana Menteri Kerja Raya telah mewartakan Lebuhraya PLUS dan SKVE sebagai jalan persekutuan.

"Lebuhraya PLUS telah diwarta oleh menteri berkenaan sebagai jalan persekutuan pada 27 Dis 1988 manakala Lebuhraya SKVE pada 25 Jun tahun lepas (2012).

"Sehubungan itu, MPS tidak mempunyai bidang kuasa ke atas kedua-dua lebuh raya atau kuasa untuk mengeluarkan apa-apa notis berhubung perkara berkenaan," katanya. Alex berkata demikian ketika berhujah pada pendengaran permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan MPS membuka dua kamera AES di kawasan perbandaran itu.

Beliau berkata PLUS dan SKVE merupakan konsesi lebuh raya di bawah kawalan serta pengurusan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Katanya, Beta Tegap tidak mempunyai obligasi di bawah undang-undang untuk memohon kebenaran merancang mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

"Jadi, siapa yang mempunyai bidang kuasa itu? Hanya kerajaan Persekutuan boleh membuat undang-undang berkaitan jalan persekutuan," katanya.

Pada 19 Dis tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Beta Tegap bagi semakan kehakiman untuk mencabar keputusan MPS, yang difailkan 12 Dis lepas. Dalam permohonan itu, Beta Tegap mendakwa MPS, menerusi sepucuk surat bertarikh 19 Nov tahun lepas, memutuskan syarikat tersebut perlu memohon kebenaran untuk memasang tiang dan kamera AES di Kilometer 301.7 Lebuhraya Utara Selatan dan Kilometer 6.6 Lebuhraya Lembah Klang Selatan, kedua-duanya di Dengkil, Sepang.

MPS, menerusi surat bertarikh 6 Dis, mengarahkan syarikat itu membuka tiang serta menutup kamera AES terbabit dalam tempoh 14 hari notis.

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili MPS berhujah permohonan Beta Tegap merupakan salah tanggapan dan tidak mempunyai merit. "Lebuhraya PLUS dan SKVE terletak di bawah bidang kuasa responden (MPS). Tiang serta kamera AES dipasang di atas tanah kerajaan dan sehubungan itu, berada di bawah bidang kuasa responden," katanya.

Gobind juga berkata MPS sekadar menjalankan tugasan undang-undangnya mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dalam mengeluarkan notis berkenaan dan Beta Tegap telah diberikan masa yang mencukupi untuk mengambil tindakan bagi membetulkan kesalahan yang dilakukan di bawah akta tersebut. Jabatan Peguam Negara, yang bertindak sebagai pencelah, pula berhujah berdasarkan peruntukan Seksyen 85(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Menteri Kerja Raya merupakan pihak yang mempunyai bidang kuasa untuk memberi kelulusan bagi pemasangan AES di jalan persekutuan. Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh juga berkata hanya Parlimen diberi kuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan perkara dalam senarai persekutuan, termasuk APJ.

"MPS telah bertindak melebihi bidang kuasanya, dan notis sepatutnya dibatalkan atas alasan menyalahi undang-undang," katanya.

Hakim Datuk Zaleha Yusuf kemudian menetapkan 21 Feb depan untuk keputusan. -- BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan