Warga M'sia Menyamar Warga Filipina Dihukum Penjara 2 Tahun

Diterbitkan: Selasa, 5 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Seorang warga Malaysia yang menyamar sebagai rakyat Filipina dan didakwa telah menipu lebih 15,000 rakyat negara itu dalam pelaburan skim piramid telah dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini.

Mohammad Kamal Sa'ad, 47, mengaku bersalah pada Isnin selepas didakwa di bawah Seksyen 12(1) (d) Akta Pasport 1966, kerana memiliki dokumen perjalanan dengan cara yang salah yang boleh membawa kepada hukuman denda RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Dia dibicarakan di hadapan hakim Nuruhuda Mohd Yusof di wad Hospital Queen Elizabeth di sini kerana sedang menerima rawatan hempedu.

Menurut fakta kes, Mohammad Kamal telah didapati memiliki pasport Filipina di bawah nama Amililio Manuel Karingal pada 25 Januari lalu pada lebih kurang jam 5.30 petang di Balai Berlepas Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Pasukan polis yang menahannya juga telah menemui sekeping MyKad yang tertera namanya.

Hasil siasatan mendapati, tertuduh telah memperolehi pasport Filipina secara tidak sah.

Terdahulu, Komisioner Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, Malaysia bersedia untuk menyerahkan Mohammad Kamal kepada pihak berkuasa Filipina asalkan ia melalui proses dan prosedur yang ditetapkan.

Hamza berkata, proses tersebut tertera di dalam Akta Kerjasama Asean Berhubung Hal Ehwal Jenayah 2002 dan perlu dipatuhi sebelum mereka boleh menyerahkan tertuduh kepada kerajaan Filipina.

Beliau mengakui yang pihak polis telah menerima permohonan daripada Kerajaan Filipina berhubung kes tersebut tetapi ia terpaksa ditolak kerana tidak memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan oleh akta berkenaan.

Permohonan itu mestilah melalui proses saluran Pejabat Peguam Negara Filipina dan Kementerian Luar negara itu sebelum ia diserahkan melalui Kementerian Luar Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan selepas itu barulah Polis Diraja Malaysia.

Mohammad Kamal didakwa telah memperdayakan lebih 15,000 rakyat Filipina untuk melabur di dalam syarikatnya Aman Futures Group dengan jumlah pelaburan dikatakan berjumlah Pesos 12 bilion bersamaan dengan RM895 juta.

Tertuduh dikatakan telah lari meninggalkan Filipina sejuru sebelum Presiden Benigno Aquino III mengarahkan penangkapannya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan