Kes Rafizi Dedahkan Penyata Akaun NFC Disebut Semula 6 Mac

Diterbitkan: Isnin, 4 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin menetapkan 6 Mac ini untuk sebutan semula kes Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli dan seorang kerani bank yang menghadapi pertuduhan mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia).

Hakim G.Ramesh menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam Evic Paulsen yang mewakili Mohd Rafizi.

Evic memohon tarikh sebutan baru sementara menunggu proses rayuan Mohd Rafizi di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan di bawah Akta Bafia itu.

Pada 23 November tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ghazali Cha menolak permohonan Mohd Rafizi untuk mengetepikan pertuduhan itu selepas mendapati permohonan itu bersifat pramatang.

Mohd Rafizi memfailkan permohonan itu pada 10 September tahun lepas, atas alasan prosiding jenayah di Mahkamah Sesyen berkenaan bermotifkan politik.

Mohd Rafizi, 36, mengaku tidak bersalah mendedahkan dokumen penyata baki akaun pelanggan Public Bank Bhd iaitu National Feedlot Corporation (NFC), National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Pengerusi NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, yang beliau mempunyai akses, kepada Yusof Abdul Alim dan Erle Martin Carvalho.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac lepas.

Mohd Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) Akta Bafia yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kerani bank, Johari Mohamad, 42, juga mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Mohd Rafizi pada tarikh dan di alamat yang sama.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) Akta Bafia, dan boleh dihukum menurut Seksyen 103 akta sama. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan